Definisi umum tentang rasuah ialah apa-apa kesalahan yang dilakukan dengan sengaja dalam bidang kuasanya atau sengaja melalaikan tugas bagi memperoleh keuntungan peribadi.
Ciri-ciri rasuah sebagaimana dirumuskan oleh Syed Hussein Alatas (1968) termasuklah pengkhianatan terhadap kepercayaan, penipuan terhadap badan kerajaan, swasta atau masyarakat.
Individu yang terlibat dengan rasuah juga mengetepikan kepentingan awam dan lebih mengutamakan kepentingan atau faedah sendiri.
Lazimnya rasuah dilakukan secara rahsia, melibatkan lebih daripada seorang atau satu pihak.
Hasil rasuah bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit tetapi juga dalam apa-apa bentuk perolehan habuan atau ganjaran.
Inti pati perbuatan rasuah ialah penipuan yang mengkhianati kepercayaan yang ada diberikan oleh masyarakat, agensi mahu pun negeri atau negara.
Rasuah berlaku sejak zaman berzaman. Sekiranya kita melihat kerajaan lama seperti Rom, China, India didapati masalah ini merupakan pencetus kepada kejatuhan sesebuah kerajaan.
Dalam kerajaan Yunani, apa-apa rasuah ditolak dan dikutuk. Namun ini tidak bermakna tidak berlakunya rasuah. Malah rasuah berlaku dalam zaman Yunani dalam pelbagai bentuk.
Hingga pada satu tahap, jawatan diperniagakan, penyalahgunaan dana negara, penyogokan hakim dan sebagainya.
Malah dicatatkan dalam sejarah, jawatan seperti gabenor wilayah dianggap sebagai kaedah tercepat untuk menjadi kaya-raya.
Pada satu tahap, orang yang tidak berdosa dijatuhkan hukuman sesuka hati, malah dihukum bunuh.
Namun, terdapat ahli keluarga dijatuhi hukuman mati, boleh mengambil kesempatan melakukan rasuah dengan membayar sejumlah wang untuk melepaskan diri.
Jadi, dengan rasuah ini, orang yang sepatutnya dihukum gantung digantikan dengan orang yang lain.
Pada zaman China kuno sekitar 141SM, Ssu-ma Chi’ien pernah mencatatkan rasuah sangat berleluasa akibat undang-undang yang longgar dan tidak dikuatkuasakan.
Orang yang menjadi kaya-raya menggunakan kekayaan untuk mengumpul lebih banyak lagi harta kekayaan.
Sama ada daripada pihak pemerintah, pegawai tinggi, dan ahli keluarga mereka berlumba-lumba hidup mewah tanpa batas.
Mereka dipengaruhi oleh gaya hidup mewah dan mempunyai cita rasa tinggi terhadap kebendaan.
Sikap hormat terhadap undang-undang hanya dalam situasi tertentu.
Di kala rasuah golongan pembesar berlaku secara besar-besaran.
Perlakuan kes-kes jenayah seperti kecurian kecil diberikan hukuman yang tegas dan zalim.
Jenayah kecil digembar-gemburkan manakala rasuah dalam menyalahgunakan harta negara terus berleluasa.
Sikap ini membangkitkan kemarahan rakyat negara China kuno.
Pada era India kuno, teks Arthashastra yang dihasilkan 2,400 tahun lalu pernah menceritakan Kautilya iaitu, salah penasihat Kerajaan Maharaja Chandragupta Maurya yang pernah menyatakan rasuah tidak dapat terhindar dan perlu dikawal.
Kautilya memberikan sebuah analogi begitu juga sukar untuk menangkap aktiviti rasuah dalam kerajaan umpama betapa sukar untuk menangkap burung yang terbang di langit.
Rasuah era moden
Menurut laporan Wall Street Journal (1991), Kajian Jabatan Perdagangan pada 1988 mendapati korupsi dalam industri gula mengenai harga dan kuota menyebabkan pengguna di Amerika Syarikat terpaksa menanggung AS$3 ribu bilion setahun.
Senator yang menerima sogokan dalam industri gula menyokong dasar kuota dan harga dalam industri gula manakala yang tidak menerima sokongan akan menentang dasar tersebut.
Dalam urusan pembelian senjata negara di Afrika Selatan yang bernilai AS$4.8 bilion pada 1999 dilandai dengan dakwaan rasuah komisen dan sebagainya.
Urusan ini meliputi pembelian peralatan pertahanan seperti kapal selam dan helikopter dan peralatan berkaitan.
Hal ini memaksa Presiden Zuma mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Seriti untuk melakukan penyiasatan unsur-unsur tipu daya, rasuah, kepadanan berdasarkan undang-undang negara.
Dianggarkan nilai rasuah yang terlibat dalam urusan ini ialah sebanyak lebih AS$1 bilion.
Kejatuhan kepimpinan negara
Rasuah membawa kepada kejatuhan kepimpinan politik sesebuah negara.
Thaksin Shinawatra pernah dituduh melakukan dua kes penipuan yang besar.
Antaranya ialah terlibat dalam pembelian peralatan yang tinggi bagi projek lapangan terbang baharu Suvarnabhumi di Bangkok dan satu urus niaga tanah yang kontroversi apabila membeli tanah di Jalan Ratchadaphisek daripada Tabung Pembangunan Institusi Kewangan (FIDP).
Beliau tidak sepatutnya terlibat dalam urusan ini kerana mendapat manfaat atau kerugian melalui tindakannya.
Di Indonesia, Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia pernah menerbitkan laporan dan meletakkan nama mantan Presiden Indonesia, Suharto di tangga teratas dalam senarai 10 pemimpin politik dunia yang rasuah.
Dikatakan Suharto mencuri kekayaan negara bernilai antara AS$15 bilion dan AS$35 bilion sepanjang pemerintahannya sebelum digulingkan rakyat pada 1998.
Namun, perbicaraan tuduhan rasuah terhadap Suharto ditarik balik atas pertimbangan faktor kesihatan.
Di Filipina pula pernah terhasil sebuah kajian rakyat Filipina melihat Presiden Gloria Arroyo sebagai presiden paling rasuah mengatasi bekas Presiden Ferdinand Marcos.
Hal ini amat menghairankan kerana selama ini Marcos sering disinonimkan dengan rasuah dan isterinya dikaitkan dengan gaya hidup mewah termasuk memiliki ribuan koleksi kasut mewah.
Marcos dikatakan menggelapkan dana kerajaan berjumlah AS$10 bilion (RM34 bilion) sepanjang 20 tahun pemerintahannya sebelum disingkirkan pada 1986.
Mantan Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo (2001-2010), 65 tahun dituduh bukan sahaja dalam kes tuduhan penipuan pilihan raya tetapi juga tuduhan rasuah.
Beliau dituduh melakukan salah guna dana loteri negeri dan rasuah melalui pembatalan perjanjian jalur lebar negara dengan ZTE Corporation dari China yang bernilai ratusan juta.
Kesemua ini bermakna, walaupun sesetengah pemimpin ada yang dianggap diktator dan dipersepsikan rasuah, namun ada lagi pemimpin selepas itu dianggap lebih rasuah daripada pemimpin sedia ada sebelum ini. Inilah paradoks dalam dunia politik.
Berdasarkan situasi ini ternyata, gejala rasuah tidak mengenal etnik, agama, dan negara.
Punca rasuah ialah ketamakan, gaya hidup mewah menjadi cita rasa hidup, kerapuhan integriti diri, pegangan agama lemah dan tidak ada meletakkan nilai kejujuran dalam etika pekerjaan yang diamanahkan oleh rakyat.
Faktor utama rasuah ialah faktor kelemahan peribadi pelaku yang terlibat itu.
Bagi kepimpinan yang dituduh rasuah pula dianggap sebagai faktor kelemahan kepimpinan itu.
Namun, mengapakah di sesetengah negara pemimpin tersebut masih diterima rakyat seperti di Afrika?
Perhatikan sahaja Zaire di bawah rejim Mobuti yang mempunyai kekayaan AS$9 bilion yang sanggup menyewa kapal terbang untuk penerbangan dari negara ke Perancis untuk temu janji dengan doktor giginya.
Apa pun, zaman pasti berubah dan lambat-laun rakyat akan pasti menolak kepimpinan rasuah sedemikian berdasarkan sejarah yang berlaku sepanjang zaman!
No comments: