Datuk Seri Najib Razak dijangka memfailkan saman terhadap akhbar Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa susulan laporannya menuduh berbilion ringgit dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri itu, lapor The Star Online hari ini.
Tuntutan saman itu akan difailkan peguamnya di Kuala Lumpur, lapor portal itu, memetik sumber terdekat perdana menteri.
Najib dijangka membuat pengumuman mengenai niatnya petang ini dalam sidang akhbar pada jam 6.15 petang di sebuah masjid di Semenyih.
Pada hari Khamis, WSJ mendakwa sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) dipindahkan ke akaun peribadi Najib pada 2013, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.
Najib menafikan dakwaan tersebut dan menyalahkan laporan terkini kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang beberapa bulan kebelakangan ini menggesa peletakan jawatan Najib.
WSJ, bagaimanapun, teguh dengan laporannya, mengatakan ia berdasarkan dokumen bukti yang kukuh.
Satu pasukan petugas pelbagai agensi ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Menteri Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal menggesa PM mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ jika laporan itu tidak benar.
Najib, yang juga menteri kewangan adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
sumber
No comments: