» » Sektor swasta digesa buat pelaburan ke arah tingkatkan kualiti pendidikan di M'sia


Sektor swasta yang memiliki kepakaran serta kemampuan dana yang mencukupi perlu membuat pelaburan ke arah mencorak dan meningkatkan kualiti pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menegaskan usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang.

"Ia bukan sahaja menguntungkan negara tetapi turut mendatangkan manfaat buat sektor swasta menerusi bekalan tenaga kerja yang berkualiti tinggi pada masa hadapan," katanya.

Muhyiddin, yang juga menteri pendidikan, berucap merasmikan majlis graduasi Program Literasi Bahasa Inggeris disertai majlis menandatangani perjanjian Pengambilan Sekolah Angkat Pintar oleh Kumpulan UEM, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata program pendidikan sejak April 2012 kelolaan Kumpulan UEM dengan kerjasama Yayasan Pintar dan British Council itu boleh dijadikan rujukan Pintar merujuk kepada Mempromosi Kebijaksanaan, Memupuk Bakat dan Pembangunan Sahsiah.

Menurut Muhyiddin, kajian oleh sebuah badan bebas tahun lalu menunjukkan pelaburan RM3 juta oleh Kumpulan UEM bagi menaja program itu membawa pulangan pelaburan sosial bernilai RM54 juta.

"Ini secara tidak langsung menzahirkan lagi manfaat program ini yang turut merupakan inisiatif terbesar dan pertama seumpamanya dikendalikan oleh syarikat Malaysia dengan kerjasama Yayasan Pintar," katanya.

Muhyiddin seterusnya berkata kerjasama awam-swasta seperti itu perlu diadakan secara lebih meluas untuk mewujudkan kesamarataan akses terhadap pendidikan dan seterusnya meningkatkan keberhasilan murid terutama dalam kalangan golongan terpinggir.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching, Pengerusi Yayasan Pintar Tan Sri Arshad Ayub dan Pengerusi Kumpulan UEM Berhad Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali.

Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan Dr Ahmad Tajuddin sebagai penasihat kepada menteri pendidikan bagi Sekolah Berprestasi Tinggi dan Sekolah Kecemerlangan Kluster.

Mengenai Program Literasi Bahasa Inggeris, beliau berkata pelaksanaannya melengkapkan 116 warga guru dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris secara lebih berkesan.

Muhyiddin turut menyambut baik langkah Kumpulan UEM mengambil 18 lagi sekolah angkat Pintar, yang menjadikan jumlah keseluruhan 39.

Inisiatif tanggungjawab sosial yang diilhamkan oleh Khazanah Nasional Bhd., Yayasan Pintar ditubukan pada 2008 dengan usaha menjalin kerjasama dan perkongsian bijak dengan syarikat milik kerajaan (GLC), swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan bagi menggalakkan pencapaian cemerlang pelajar dalam akademik dan bukan akademik.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .