» » Penjelasan 1MDB timbulkan lebih banyak persoalan yang pelik


Penjelasan Presiden 1Malaysian Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy berhubung hutang RM42 bilion syarikat itu yang dipersoalkan ramai pihak sebelum ini bukan perkara baharu kerana Pakatan Rakyat (PR) pernah membangkitkannya, tetapi ia kini menimbulkan lebih banyak persoalan, kata pemimpin DAP.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, melalui penjelasan itu Arul gagal menjawab banyak persoalan yang dibangkitkannya sebelum ini.

"Persoalan yang saya bangkitkan di dalam dan luar Parlimen sejak 2 tahun lalu termasuk apa sebenarnya pelaburan RM6.1 bilion dalam Brazen Sky yang diletakkan di Pulau Cayman," kata Pua dalam kenyataannya, malam tadi.

"Walaupun Arul mengumumkan semua pelaburan di Brazen Sky sudah pun dituntut, tapi masih lagi tiada wang tunai di BSI Bank Singapura, walaupun Arul memberi jaminan pada Februari wang tunai itu selamat di bank," katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, pihaknya juga berulang kali mempersoalkan mengenai dana berjumlah RM5.1 bilion dilaburkan 1MDB Global Investment Limited, tetapi Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak terus enggan menyenaraikan pelaburan yang dilakukan syarikat itu.

"Beliau juga enggan mendedahkan di mana dana itu diletakkan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedar 1MDB mendepositkan RM5.1 bilion dengan Aabar Investment, namun persoalannya mengapa 1MDB bersetuju dengan terma "lintah darat" bagi mendapatkan jaminan AS$3.5 bilion daripada International Petroleum Investment Corporation (IPIC).

"Kenapa meminjam dan hanya boleh menggunakan 60% daripada pinjaman itu?

"Pendedahan Arul tidak mendedahkan perkara baharu yang kita tidak tahu. Soalan yang ditanya kekal tidak berjawab," katanya dan menambah penjelasan Arul membangkitkan lebih banyak persoalan untuk 1MDB.

Arul dalam satu kenyataan semalam berkata, terdapat banyak spekulasi ke atas penggunaan wang RM42 bilion yang dibangkitkan terhadap syarikat pelaburan negara itu khususnya RM27 bilion yang didakwa hilang atau lesap.

Beliau dilaporkan berkata, dana itu digunakan untuk membeli penjana kuasa bebas (IPP), tanah dan dana pelaburan di Brazen Sky serta Aabar Investment.

"Kami menyediakan ringkasan mengenai ke mana hutang RM42 bilion digunakan, maklumat yang didedahkan sepenuhnya ini sudah diaudit dan diumumkan kepada umum membabitkan akaun dari 31 Mac, 2010 hingga 31 Mac, 2014.

"Kami percaya penjelasan ini akan memperjelaskan segala kekeliruan mengenai perkara ini," katanya dalam kenyataan itu.

Arul menjelaskan, RM5.8 bilion digunakan untuk perbelanjaan kewangan, RM4.5 bilion dibelanjakan untuk menanggung kos pentadbiran dan gaji pekerja, RM900 juta kos pertukaran asing manakala RM400 juta lagi digunakan membayar cukai.

"Adakah Arul cuba memberitahu kita 1MDB mengambil pinjaman tambahan untuk membayar kadar faedah pinjaman dan cukai?

"Adakah beliau mengesahkan pulangan apa saja aset yang dibeli dengan pinjaman terdahulu tidak mampu menanggung faedah dan perbelanjaan cukai sehingga 1MDB perlu membuat pinjaman tambahan RM5.8 bilion untuk membayarnya?" soal Pua.

Katanya, jika itu berlaku ia menunjukkan strategi pelaburan 1MDB adalah satu "kemusnahan" dan pengurusan syarikat itu tidak kompeten dan mempersoalkan sama ada mereka terlibat dengan penipuan.

"Kami menyeru Arul supaya berhenti menipu dan menjawab semua soalan dengan penuh.

"1MDB sudah tidak lagi mampu menerima keyakinan rakyat Malaysia dengan memberikan jawapan yang tidak tepat dan berpura-pura mereka berjaya menjawab persoalan dan kritikan," kata Pua.

Katanya, penjelasan Arul itu juga tidak menjelaskan kekeliruan yang berlaku, sebaliknya membangkitkan lebih banyak keraguan dan spekulasi terhadap 1MDB.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .