Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang malam ini, sekembalinya dari percutian di Australia, disambut sekumpulan kira-kira 50 penyokongnya dan lebih 20 wartawan dan jurugambar.
Timbalan perdana menteri itu bagaimanapun tidak mengucapkan sepatah perkataan kepada mereka yang menantinya, sebaliknya hanya melambai tangan dan memberikan senyuman kepada pemberita ketika diajukan soalan berkenaan percutiannya yang dikatakan sejak 26 Mei.
Pihak media kebanyakannya menantikan kepulangan beliau bagi mendapatkan respons berkenaan kata dua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada anggota Kabinet untuk meletakkan jawatan sekiranya tidak bersetuju dengan cara beliau mengendalikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kumpulan wartawan berkenaan menantikan ketibaan Muhyiddin sejak jam 6 petang, dan Muhyiddin bergerak meninggalkan perkarangan KLIA sekitar jam 9.30 malam.
Sejurus beliau tiba di kenderaannya, penyokongnya melaungkan "Hidup Tan Sri!" dan "Selamatkan Malaysia", sambil memberikan tepukan gemuruh.
Antara yang kelihatan menyambut kepulangannya ialah Datuk Hamidah Othman, bekas exco kerajaan negeri Perak. Beliau bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan kepada media berhubung kehadirannya di situ.
Selain itu, turut kelihatan ialah Yang di-Pertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya.
"Saya datang sebagai rakyat Malaysia yang teringin sangat menyambut kepulangan timbalan perdana menteri dan alhamdulillah saya dapat bersalam tangan dengan Muhyiddin. Itu sejarah dalam hidup saya.
"Saya kata kepadanya, selamat pulang pemimpin negara," Abu Bakar berkata kepada pemberita.
Ahli Umno Bahagian Kuala Langat, Shahrulnizam Shahruddin berkata, kehadirannya hanya untuk memberikan sokongan kepada Muhyiddin, khususnya dengan niat bagi mengelakkan perpecahan dalam Umno.
"Kita datang untuk menyambut timbalan perdana menteri pulang. Itu sahaja. Saya sebagai rakyat biasa, tiada apa-apa," katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Najib memberi kata dua kepada anggota Kabinet Jumaat lepas supaya meletak jawatan sekiranya tidak bersetuju dengan usahanya memulihkan syarikat yang dibebani hutang mencecah RM42 bilion itu.
Memetik sumber, akhbar milik Umno itu melaporkan, Najib membuat kenyataan itu sejurus selepas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada anggota Kabinet pada mesyuarat itu.
Akhbar berkenaan turut melaporkan tiada seorang pun anggota Kabinet berani tampil menyatakan pendirian mereka untuk tidak bersama Najib walaupun diberi peluang berbuat demikian.
Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bagaimanapun berkata kepada The Malaysian Insider, Najib tidak memberikan kata dua, sebaliknya beliau mengamalkan keterangkuman dan mahukan konsensus daripada rakan Kabinetnya.
"Dalam mesyuarat itu, perdana menteri kata: 'Jika sekiranya, ada antara anda yang tidak selesa dengan perkara ini, sila serahkan atau tulis (surat peletakan jawatan), dan saya akan faham.'
"Jika kamu berada di sana, tidak akan terasa seperti beliau memberi kata dua," kata menteri pelancongan dan kebudayaan itu.
Nazri berkata, Kabinet turut memutuskan Husni sebagai jurucakap rasmi dalam mana-mana isu yang berkaitan syarikat itu untuk menyelaraskan sebarang kenyataan yang dikeluarkan dan memastikan ia tepat.
Baru-baru ini satu klip video menjadi viral menunjukkan Muhyiddin dalam satu ucapannya pada satu majlis tertutup dengan ahli Umno di Janda Baik, Pahang menggesa semua ahli lembaga pengarah 1MDB dipecat berhubung masalah dihadapi syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
sumber
No comments: