» » NGO sediakan platform pada Najib Razak untuk jawab soalan berkaitan skandal 1MDB dan skandal lain


Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) SukaGuam memberi peluang kepada Datuk Seri Najib Razak menjawab soalan daripada NGO lain dan kumpulan masyarakat sivil, termasuk mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada satu platform minggu ini, lapor Malaysiakini.

Pengerusi SukaGuam Khairul Anwar Rahmat pada sidang akhbar hari ini dilaporkan berkata, Najib mengesahkan kehadirannya pada sesi forum selama dua jam bertajuk "Tiada apa yang perlu disembunyikan," berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi Jumaat ini.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dijemput hadir tetapi tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan hadir atau tidak.

"Kami mahu dialog ini menjadi platform yang berkesan kerana SukaGuam merupakan NGO berasaskan undang-undang.

"Di mahkamah, terdapat keterangan dikemukakan dan pihak yang yang satu lagi selalunya diberi peluang menentang hujah tersebut," Khairul dipetik berkata.

Katanya, NGO perlu diberi peluang menyoal Najib kerana mereka mempunyai soalan yang sah, supaya bukan hanya ahli politik yang menguasai perbincangan mengenai isu negara.

"Sebelum kita ini lihat isu nasional hanya dibincangkan ahli politik. Kita nampak yang NGO dikategorikan mengikut keistimewaan dan kepakaran mereka. Mereka boleh bertanya soalan yang lebih jujur dan berwawasan," katanya.

Najib setakat ini melawat ke beberapa negeri - Perak, Johor, Sabah dan tempat kelahirannya di Pekan, Pahang - sebagai sebahagian daripada jelajah seluruh negara beliau bagi menjelaskan kritikan terhadap pentadbiran beliau dan cara beliau mengendalikan 1MDB.

Pengkritik utamanya merupakan ahli Umno sendiri, iaitu Dr Mahathir, yang melakukan serangan tanpa henti dan menggesa perletakan jawatannya kerana dikhuatiri akan merugikan parti.

Kritikan beliau kebanyakannya ditujukan kepada 1MDB, syarikat pelaburan milik penuh Kementerian Kewangan, yang mengumpul hutang mencecah RM42 bilion dalam masa enam tahun beroperasi.

Audit Negara kini sedang meneliti akaun 1MDB, dengan laporan awal dijangka dikemukakan kepada Parlimen pada bulan Jun, manakala Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memulakan siasatannya terhadap syarikat itu pada 19 Mei.

Utusan Malaysia melaporkan semalam Najib memberi kata dua kepada Kabinetnya, meminta menteri meletak jawatan jika mereka tidak menyokong beliau dalam pelan pemulihan 1MDB.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .