Menteri yang sudah hilang keyakinan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus meletakkan jawatan dengan sukarela, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid berkata, semua menteri harus bersetuju dengan keputusan perdana menteri.
"Kuasa untuk melantik dan memecat menteri Kabinet ada pada perdana menteri. Menteri harus bersetuju dengan PM dalam semua keputusan," kata Zahid kepada pemberita di Putrajaya pagi ini, mengulas kata dua Najib kepada menteri dalam mesyuarat Kabinet Jumaat lepas.
Dalam mesyuarat itu, Najib memberitahu jemaah menteri, mereka boleh meletakkan jawatan jika tidak bersetuju dengan cara pemulihan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Mereka yang sudah hilang keyakinan dan mempersoalkan keputusan secara terbuka sepatutnya meletakkan jawatan. Saya tidak fikir ada keperluan untuk menunggu PM memecat," kata Zahid.
Sebelum Najib mengeluarkan kata dua, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad berkata, menteri-menteri yang tidak bersetuju dengan keputusan kolektif Kabinet berhubung 1MDB perlu meletakkan jawatan.
Shahrir menyatakan persetujuannya terhadap kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang mengatakan keseluruhan Kabinet secara kolektif bertanggungjawab terhadap kontroversi 1MDB yang menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap penggendalian dan ketelusan kerajaan terhadap syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
Menteri-menteri yang menyatakan penentangan secara terbuka terhadap 1MDB termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkata keseluruhan ahli lembaga 1MDB harus dipecat.
Menteri lain seperti Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga secara terbuka menggesa jawapan dan ketelusan yang lebih dalam menyelesaikan kontroversi 1MDB.
Hari ini, Zahid juga menolak pandangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan semalam Kabinet tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah 1MDB.
sumber
No comments: