» » Minta siasatan berkaitan skandal 1MDB tidak diganggu


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar minta siasatan terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang disiasat "task force" khas tidak diganggu.

Khalid bagaimanapun enggan memberi butiran lanjut kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan yang dijalankan.

"Saya tidak mahu cakap bagi pihak task force. Saya bukan jadi jurucakap task force tapi saya cuma mengesahkan siasatan dilakukan oleh satu task force. Jadi saya tidak mahu beri butir siasatan.

"Kalau saya bagi butir siasatannya, ia akan mengganggu pula siasatan task force ini," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai jenayah komersial dan proses siasatannya berbeza daripada biasa.

"Seperti yang saya beritahu saya bukan jurucakap bagi task force ini, saya hanya mengesahkan siasatan kami. Jadi biar kami lakukan tugas kami.

"Anda semua perlu faham. Dalam kes jenayah komersial ini kita bukan tangkap dulu baru siasat. Kita siasat dulu baru tangkap, kalau ada kesalahan.

"Jenayah komersial ini sebaliknya. Biarlah kita jalankan kerja kita dan apabila ada kesalahan. Pasukan khas ini akan mengambil tindakan lanjut," katanya.

Sebelum ini Khalid berkata, polis tetap menjalankan siasatan terhadap isu dana 1MDB walaupun Jabatan Audit Negara melakukan audit terhadap syarikat itu.

Katanya, walaupun polis sebelum ini menetapkan hanya akan menjalankan siasatan jika audit terhadap 1MDB mengesan sebarang percanggahan, pasukan petugas khas bagi kes itu yang bermesyuarat pada Jumaat lalu memutuskan segala maklumat atau laporan yang diterima berhubung kes itu perlu disiasat.

Namun pada Isnin lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau lebih mempercayai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berbanding Jabatan Audit Negara bagi menyiasat skandal yang melanda syarikat itu.

Ini kerana, katanya, PAC mampu menyelidik latarbelakang syarikat pelaburan negara yang bermasalah itu dan bertanyakan pelbagai soalan yang berkaitan mengenai semua dananya yang tidak dapat dikesan.

"Saya meletakkan lebih kepercayaan kepada PAC berbanding audit negara. Audit negara hanya memeriksa akaun, mereka tidak melakukan audit forensik, mereka tidak cuba untuk menyelidik dan mengambil tahu di mana wang berkenaan dibelanjakan, bagaimana wang itu dibelanjakan, ke mana wang itu digunakan.

"Mereka hanya memeriksa akaun tetapi mereka tidak akan temui banyak perkara kerana mereka yang menyimpan buku kira-kira ini mungkin orang yang sangat pandai," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .