Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua hari ini meminta Datuk Seri Najib Razak berhenti daripada menjadi hipokrit kerana tidak menjawab soalan Parlimen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dilihat menyindir Najib berhubung tindakan perdana menteri menulis kenyataannya di blog semalam meminta untuk tidak menghakimi fakta namun pada masa sama mengelak kesemua jawapan mengenai syarikat sarat hutang itu di Parlimen .
Pua berkata, beliau kesal apabila sekali lagi menerima jawapan bertulis Parlimen daripada Najib yang disifatkan sebagai tidak ada jawapan.
Dalam jawapan bertulis itu, Pua bertanya kepada menteri kewangan alasan mengapa Najib enggan memberikan pecahan fi dan diskaun bon kepada pelabur untuk terbitan bon bernilai AS$3 bilion, AS$1.75 bilion dan AS$1.75 bilion untuk pelaburan Global 1MDB, Tenaga 1MDB, dan 1MDB Langat.
Ini merupakan kali kedua Pua bertanyakan soalan sama dalam soalan lisannya di Parlimen.
Najib dalam jawapannya berkata, berdasarkan maklumat diberikan pengurusan 1MDB kepada Kementerian Kewangan.
Rundingan dan penentuan hasil mengikut standard proses pemasaran antara penerbit dan pelaburan ketika rundingan penjualan dan pembelian "fixed income security".
Najib berkata Goldman Sach bertindak sebagai “priciple” dan bukan kapasiti agensi manakala keseluruhan hasil, fi dan kupon adalah berpatutan dengan saiz terbitan, kecairan dan risiko kredit.
Pua berkata, beliau menujukan soalan kepada menteri kewangan itu dengan harapan dapat memperolehi maklumat bagi membuat penilaian berkenaan pembayaran berlebihan 1MDB kepada Goldman Sachs bagi tiga pemakaian terbitan bon.
"Rakyat Malaysia tidak ada pilihan tetapi menghakimi perdana menteri sebagai hipokrit besar yang berpura-pura mahu dinilai berdasarkan fakta, pada masa sama menafikan fakta kepada rakyat.
"Najib tidak boleh menyalahkan sesiapa melainkan diri sendiri, sekiranya rakyat Malaysia menganggap beliau bersalah," katanya.
Semalam, Najib menerusi laman blognya berkata, kerajaan tidak akan bertindak menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berdasarkan tuduhan tidak berasas semata-mata.
Menurutnya, tindakan gopoh menyiasat bagi mendapat jawapan segera tidak masuk akal.
"Adakah wajar kerajaan bertindak dan mendakwa berdasarkan tuduhan liar dan pendedahan tabloid? Ini mengarut," katanya menerusi ruangan Soalan Lazim di blognya, NajibRazak.com.
Najib hebat dikritik selepas pendedahan berterusan mengenai syarikat syarat dibebani hutang 1MDB itu, di mana beliau merupakan pengerusi lembaga penasihatnya.
sumber
No comments: