Malaysia diramal mengalami keadaan cuaca panas dengan taburan hujan yang sedikit sepanjang bulan Ramadan tahun ini, demikian menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Timbalan Ketua Pengarah Strategik dan Teknikal Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Rosaidi Che Abas berkata suhu pada bulan Ramadan yang bermula pertengahan Jun diramalkan sekitar 33 hingga 35º Celsius di samping keadaan hujan yang kurang daripada biasa.
"Suhu biasa di Malaysia adalah sekitar 30, 31, 32º Celsius tapi untuk puasa ini kita ramalkan agak panas sedikit mungkin sampai 35 darjah celsius," katanya.
Beliau berkata ini disebabkan negara memasuki musim monsun barat daya yang secara relatifnya menyebabkan jumlah hujan diterima berkurangan.
Keadaan cuaca panas itu dijangka berterusan sehingga September 2015, katanya.
Dr Mohd Rosaidi berkata keadaan suhu mungkin berbeza mengikut tempat, dengan memberi contoh kawasan di sebelah utara seperti Perlis dijangka lebih panas dengan penambahan suhu sehingga 1 atau 2º Celsius.
Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia ialah Selasa 16 Jun ini bersamaan 29 Syaaban 1436 Hijrah.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mohd Rosaidi berkata berikutan negara kini berada dalam monsun barat daya, ia sekali gus akan mengurangkan ribut petir.
Mengulas tentang perkongsian yang menjadi viral di laman sosial mengenai saranan agar orang ramai membasahkan pakaian ketika hujan untuk mengurangkan kecederaan serius jika dipanah petir, beliau berkata ia adalah tidak benar.
"Air merupakan satu daripada pengalir elektrik, maka jika ada kilat pada waktu hujan dan baju pula dibasahkan (dengan air) maka kemungkinan untuk kilat menyambar ada," katanya.
Katanya tempat terbaik untuk mengelak daripada disambar petir ketika di luar rumah adalah dengan berada di dalam kenderaan kerana tayar pada kenderaan merupakan penebat elektrik terbaik.
"Elakkan daripada berada di luar rumah ketika ribut kuat berlaku, tetapi kalau kebetulan berada di luar segera berlindung di dalam bangunan kerana setiap bangunan ada penebat kilat.
"Paling penting jangan berada di kawasan lapang atau di bawah pokok kerana aliran caj akan ke tanah dan dibimbangi ke pokok sehingga mengancam nyawa," katanya.
sumber
No comments: