Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon Mahkamah Persekutuan memanggil bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ramli Yusuff memberi keterangan bagi membuktikan wujud konspirasi politik dalam sabitan Liwat 2 ke atasnya.
Peguam Anwar, N Surendran berkata Ramli akan dipanggil kerana keterangannya dalam kes saman peguam Rosli Dahlan terhadap 17 pihak termasuk akhbar Utusan Malaysia, menyebut tentang konspirasi dalam insiden mata lebam kes Liwat 1.
Menurut Surendran, watak-watak sama dalam Liwat 1 turut terlibat sebagai pemain penting kes Liwat 2 sekali gus membuktikan hujah konspirasi politik yang digunakan Anwar dalam pembelaannya sebelum ini berasas.
Surendran yang memfailkan permohonan itu sekitar jam 11 pagi ini berkata, jika permohonan itu berjaya, Ramli akan memberi keterangan sebelum semakan kehakiman Liwat 2 yang difail pada 30 April lalu, didengar Mahkamah Persekutuan.
Anwar dalam permohonan yang difailkan berkata Ramli pada 27 Mei 2015 dalam kenyataan bersumpahnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi keterangan yang "menyokong kuat kesimpulan beliau seorang mangsa konspirasi politik dan keterangan palsu".
Dalam kenyataannya, Anwar mendakwa Ramli berkata, bekas Peguam Negara Tan Sri Mokhtar Abdullah, peguam negara sekarang Tan Sri Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkonspirasi dalam keterangan insiden mata lebamnya pada 20 September, 1998 yang menyaksikan beliau diserang dan dipukul bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor.
Tiga orang individu itu, memetik keterangan Ramli kata Anwar, mengarahkan Ramli membuat laporan polis terhadapnya dan mengatur seorang doktor bagi menyediakan laporan pakar yang beliau mencederakan dirinya sendiri.
Kata Anwar, Gani kini merupakan peguam negara yang menuduh beliau dalam kes Liwat sementara Tan Sri Shafee Abdullah yang dilantik secara fiat oleh Gani untuk rayuan Liwat 2 adalah peguam peribadi dan penasihat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak – seteru politik beliau.
"Oleh itu saya dengan penuh hormat menyatakan keterangan Ramli Yusuf adalah kredibel dan amat penting bagi membuktikan pembelaan saya iaitu konspirasi politik adalah wujud," permohonannya dipetik.
10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menolak rayuan akhir Anwar terhadap sabitan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan mengekalkan hukuman penjara 5 tahunnya.
Sebelum itu, Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun lepas menukar keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar selepas beliau diperintah membela diri.
sumber
No comments: