» » 'Amanah Raya pinjamkan 1MDB RM2 bilion'


Satu lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) didakwa memberi pinjaman RM2 bilion kepada syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata seorang ahli Parlimen pembangkang hari ini.

Pinjaman itu, kata Ahli Parlimen Tanjong Ng Wei Aik, masih belum dibayar balik dan memberi kesan kepada aliran tunai Amanah Raya Berhad (ARB).

Memetik "maklumat sulit" daripada "sumber dalaman", beliau berkata ARB mengeluarkan RM2 bilion kepada 1MDB selepas Ahli Parlimen Kepala Batas Barisan Nasional Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dilantik pengerusi pemegang amanah syarikat pada 1 Januari tahun lepas.

Beliau mendakwa pinjaman itu berkadar faedah tahunan sebanyak 4%, dimeterai melalui "bil IOU" yang dikeluarkan oleh ARB.

Ng bagaimanapun, tidak mempunyai dokumen untuk menyokong dakwaan itu.

Tindakan itu menurutnya menjejaskan aliran tunai ARB kerana aset bersih syarikat itu sebelum pinjaman dikeluarkan berjumlah RM7.5 bilion, yang mana 35% atau RM2.6 bilion adalah wang tunai.

Selebihnya, adalah hartanah yang merupakan 20% daripada aset bersih ARB, bon dan pendapatan tetap (30%), saham (10%) dan aset lain (5%).

"Pinjaman RM2 bilion kepada 1MDB itu adalah daripada aset tunai ARB sebanyak RM2.6 bilion, menyebabkan syarikat itu menghadapi masalah aliran tunai yang besar.

"Ini memaksa ARB menjual sebahagian besar daripada bon dan hartanah REIT untuk mengekalkan rizab tunai manakala nilai bon hanya sebanyak 5% daripada jumlah aset," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ng juga berkata bekas eksekutif atasan ARB, bekas pengerusi Datuk Dusuki Ahmad dan bekas pengarah pengurus Datuk Ahmad Rodzi Pawanteh, "dipaksa" meninggalkan syarikat itu kerana enggan melanjutkan pinjaman kepada 1MDB dan pinjaman itu hanya diluluskan selepas Reezal Merican menyertai ARB.

Oleh itu, beliau menuntut penjelasan daripada Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak mengenai perkara itu, terutamanya memandangkan keadaan kewangan 1MDB yang tidak stabil.

Beliau turut menggesa pihak polis dan Jabatan Audit Negara menyiasat perkara itu sebagaimana kerana mengesyaki terdapat unsur jenayah pecah amanah.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .