» » 'Kerana mengkritik Najib Razak saya dituduh kawan baik Dr M'


Saya tidak pernah mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai kawan saya dan jika saya menafikannya orang tidak mahu percaya, malah dalam sengketa Dr Mahathir-Najib sekarang, saya dilabelkan dalam blog Roky's Bru sebagai “leading anti Najib blogger” yang akan terus menyerang hingga Datuk Seri Najib Razak tersungkur.

Anggapan ini sudah terlalu lama. Terpahat di hati saya hingga saat ini pertanyaan Allahyarham Presiden PAS Fadzil Noor yang juga merupakan rakan saya di Maktab Mahmud Alor Setar, "Berapa banyakkah Mahathir dah bagi pada you?"

Dalam buku terbaru "Mahathir Bukan Kawan Saya" yang sudah berada di pasaran, saya cuba memberikan gambaran ringkas untuk diadili sama ada anggapan ini benar atau tidak.

Antara lain saya mencatatkan:

"Saya tidak pasti mengapakah saya terus dianggap sebagai orang Tun Dr Mahathir walaupun hubungan ini melalui proses turun naiknya.

"Saya dipandang serong oleh ramai orang kerana mengkritik Dr Mahathir kembali campur tangan dalam pemerintahan negara ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri. Beliau pun berjanji tidak lagi akan kembali ke dalam politik dan pentadbiran negara."

Selepas Pilihan Raya Umum 2008, saya menyatakan Dr Mahathir sewajarnya turut menerima tanggungjawab di atas berlakunya tsunami, kerana berbagai kecaman dan kritikannya mengalih sokongan rakyat daripada Barisan Nasional (BN).

Dalam Star keluaran 2 Mac 2008 tersiar kenyataan saya "Mungkin beliau tidak sedar, kredibilitinya sebagai bekas pemimpin masih kuat dan pengaruhnya di kalangan akar umbi Melayu dan bukan Melayu sangat besar."

Saya juga mengkritik keengganan Dr Mahathir untuk mengadakan pertemuan damai dengan Abdullah menjelang Hari Raya Aidilfitri pada Oktober 2006. Usaha saya untuk mendapatkan orang tengah bagi mendamaikan kembali Dr Mahahtir dengan Abdullah gagal, apabila akhbar The Star mendedahkan orang tengah ini, walaupun Ketua Pengarang Datuk Wong Chong Wai menjanjikan kepada saya yang memberitahunya sebagai kawan rapat untuk tidak mendedahkannya.

Rupa-rupanya beliau mempunyai hubungan rapat dengan orang di NST yang tidak senang dengan usaha untuk mendamaikan Dr Mahathir-Abdullah.

NST yang dikuasai Kalimullah bersepakatan dengan Khairy Jamaluddin dan geng tingkat 4 menentang usaha ini kerana bimbang kedudukan mereka akan tersungkur bersama dengan kejatuhan Abdullah.

Saya tidak sahaja menegur Dr Mahathir di belakang tentang ketidakwajaran baginya untuk kembali mencampuri urusan negara, tetapi juga di hadapannya sendiri dalam pertemuan empat mata di rumahnya untuk mendapatkan persetujuan tentang orang tengah pada 30 Jun 2006.

Dalam pertemuan ini Dr Mahathir memberitahu saya, Abdullah memungkiri janji beberapa perjanjian mulut untuk meneruskan beberapa projek mega termasuk "Jambatan Bengkok".

Bagaimanapun, saya mulai melihat kembali kebenarannya yang semakin terserlah apabila projek tertentu dibatalkan, dijalankan semula memakan kos lebih besar dan ada projek yang kos asal hanya berjuta ringgit meningkat berbilion ringgit untuk dilaksanakan dan terpaksa ditangguhkan.

Sebuah jambatan monorail di Putrajaya terbengkalai hingga sekarang menjadi pandangan menjolok mata.

Sebuah lukisan “Jambatan Bengkok” tergantung di suatu sudut di Geleria Perdana Langkawi di Pulau Langkawi untuk menjadi nisan kenangan pahit dan pedih terkuburnya harapan tinggi Dr Mahathir untuk membangunkan maruah kemuliaan dan keberanian bangsa dan negara di pintu sebuah negara kecil sombong yang menanggap dirinya lebih kuat dan lebih besar.

Rakyat akan mengenangkan dua perdana menteri; Tun Abdulllah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak bertanggung jawab menguburkan jambatan maruah bangsa ini.

Untuk cerita sepenuhnya dapatkanlah buku saya yang kini pun berada di pasaran.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .