» » PRK Rompin dan kesan GST


Dengan pelbagai isu yang sudah sekian lama melingkari kepimpinan Najib serta penolakan yang kian ketara di mana-mana, Dr Mahathir dengan tegas mahukan PM ditukar untuk menyelamatkan Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang.

Ditambah dengan isu GST yang semakin hari semakin membengkak dalam hati rakyat, penolakan terhadap BN semakin jelas jadinya. Isunya bukan sangat kerana rakyat menolak sistem cukai baru itu, tetapi lebih disebabkan kegagalan kerajaan menangani isu-isu remeh di sebalik perlaksanaannya.

Sementara kerajaan sebelum ini mengatakan GST akan menurunkan harga barang kerana kadarnya lebih rendah berbanding SST, hakikatnya semua itu tidak menjadi kenyataan. Hampir semua pembelian meningkat harganya, termasuk teh tarik di kebanyakan kedai dinaikkan sebanyak 10 sen dan ditambah dengan GST lagi, propa kononnya akan berlaku penurunan harga nyata palsu belaka.

Lebih dari itu, yang paling menyenakkan perut rakyat ialah kegagalan kerajaan sehingga kini menyelesaikan isu 30 sen dan 60 sen cukai GST pada kad prabayar telefon yang menjadi kegunaan utama golongan muda, suri rumah dan mereka yang berpendapatan rendah. Ia memperlihatkan kerajaan amat lemah dan tiada lagi kekuatan.

Justeru itu, pilihan raya kecil Rompin ini ada nilainya yang tersendiri kepada masa depan rakyat. Ia bukan saja untuk pengundi Rompin, tetapi bagi seluruh negara.

Barangkali ternampak mustahil untuk mengharapkan PAS menang dan menewaskan BN. Selain majoriti pada pilihan raya 2013 lalu agak tinggi, Rompin juga memang merupakan kubu kuat BN.

Pengundi bolehlah terus memberi kemenangan kepada BN di Rompin tetapi dalam masa yang sama, mesej mesti dihantar kepada kerajaan iaitu dengan cara mengurangkan sedikit majoriti kemenangannya. Daripada 15,114 majoriti pada 2013 lalu, ia mungkin boleh dikurangkan kepada sekitar 13 ribu atau 12 ribu majoriti undi saja.

Melihat kepada sejarah BN yang pernah menang dengan majoriti hanya 10,679 pada pilihan raya 2008 lalu, tentulah tidak mustahil bagi pengundi Rompin untuk memberi mesej kepada Najib dan kerajaan dengan cara mengurangkan sedikit majoriti kemenangan BN.

Pentingnya pengundi Rompin menghantar mesej itu ialah untuk memberitahui kerajaan mengenai realiti dan beban yang dihadapi rakyat. Mesej melalui pengurangan majoriti itu bermakna rakyat tidak gembira dengan GST, rakyat tidak suka dengan pembaziran dan pemborosan, rakyat menolak kepimpinan yang lemah serta mahu isu-isu berkaitan 1MDB, Sirul dijawab serta dijelaskan dengan sebaiknya.

Jika tiada mesej, Najib dan kerajaan tidak akan memahaminya dan menganggap rakyat sentiasa memberi sokongan terhadap apa yang dilakukannya, termasuk berbelanja mewah, melakukan pemborosan dan membeli jet sekalipun.

Jika tiada mesej melalui pengurangan majoriti juga, ia akan menyebabkan teguran dan kritikan Dr Mahathir selama ini tidak bermakna lagi. Dr Mahathir mungkin akan berehat di rumah saja selepas ini. Najib tentu saja akan mendabik dada mengatakan beliau terus disokong rakyat di sebalik pelbagai karenah dan onar yang dilakukannya jika majoriti BN terus bertambah di Rompin ini.

Jangan bimbang wahai pengundi Rompin, mesej pengurangan majoriti ini dijamin tiada GST!

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .