» » Duit minyak untuk balik mengundi bukan rasuah


Pemberian ‘elaun’ seperti wang tunai kepada pengundi luar yang pulang mengundi tidak tertakluk di bawah kesalahan rasuah selagi pemberi tidak mengarahkan pengundi mengundi calon tertentu dan perlu membuktikan mereka mengundi calon ditetapkan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Aziz berkata, SPR sudah menyemak perkara itu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihaknya dimaklumkan ia tidak menjadi kesalahan mengikut akta pencegahan rasuah.

"Tetapi saya tidak menggalakkan perkara itu," katanya kepada pemberita, pada sidang medianya di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, di Kuala Rompin, Pahang hari ini.

"Berdasarkan akta, (kesalahan rasuah) mesti beri duit dan undi, kemudian perlu buktikan mereka mengundi calon tertentu," katanya.

Beliau berkata, SPRM turut memaklumkan kepadanya, jika pengundi diberikan ‘elaun’ dan hanya diminta pulang mengundi di kawasan mereka, ia tidak dianggap sebagai rasuah.

"Saya bertanya kepada SPRM, jika mereka beri elaun suruh balik mengundi, itu tidak salah daripada undang-undang SPRM.

"Contohnya, kalau beri tiket balik Sarawak, mesti undi calon ini dan buktikan kepada saya undi calon ini...itu tidak boleh.

"Ini macam dia bayar elaun...kalau dia kata, mesti undi calon tertentu, dan buktikan, itu rasuah,” katanya.

PRK Rompin bermula jam 8 pagi tadi dengan sejumlah 38 pusat mengundi dibuka merangkumi 115 saluran.

Setakat jam 11 pagi hari ini, seramai 24,438 pengundi keluar mengundi daripada jumlah keseluruhan pengundi seramai 52,744. Jumlah itu mewakili sekitar 46%.

"Ini peratusan tinggi, sangat tinggi...purata dalam sejam 15%," katanya.

"Trend seperti ini biasa dalam PRK mahupun pilihan raya umum, bila masuk lepas jam 1 petang hingga 5 petang, mula berkurangan," katanya.

Aziz berkata, pihaknya mengharapkan 80% pengundi akan keluar membuang undi dalam PRK Rompin.

"Kalau kurang macam mana pun, SPR berharap 80% daripada jumlah pengundi keluar mengundi," katanya.

PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional Datuk Hasan Arifin melawan calon PAS Nazri Ahmad dan keputusannya dijangkakan diumumkan awal malam ini.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .