Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mesti bertanggungjawab sepenuhnya , terhadap peranannya dalam dua skandal, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan urusan jual beli kapal selam Scorpene, di mana berbilion ringgit digunakan tanpa akauntabiliti, kata Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).
Badan yang memantau kegiatan rasuah itu berkata, persamaan dalam dua kes kontroversi berkenaan sangat membimbangkan.
"Najib Razak mesti bertanggungjawab dalam dua skandal besar ini," kata pengarah eksekutif C4, Cynthia Gabriel dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, hutang RM42 bilion dalam tempoh 5 tahun beroperasi yang dikumpul 1MDB menunjukkan bagaimana permainan kuasa, politik naungan dan rasuah membawa kesan buruk kepada negara ini.
Cynthia berkata, tidak mengejutkan yang dana pelaburan strategik negara itu bukan skandal kewangan pertama melibatkan Najib.
"Perjanjian Scorpene Submarine merupakan satu lagi pembelian berbilion ringgit yang memalukan negara yang dapat dihidu rasuahnya sebelum pilihan raya umum lalu.
"Pelbagai jawapan yang tidak konsisten muncul di Parlimen dan akhirnya membuatkan kumpulan hak asasi manusia Suaram memfailkan aduan kehakiman di tribunal Perancis," katanya.
Gabriel berkata terdapat 4 faktor yang sama dalam kedua-dua urusniaga kontroversi itu temasuk penglibatan Najib dalam kedua-dua kes.
Katanya, ketika perjanjian pembelian Scorpene ditandatangani pada 2002, Najib merupakan menteri pertahanan dan bertanggungjawab dalam pembelian kapal selam itu sementara Kementerian Kewangan yang memiliki 1MDB, menteri kewangan merupakan pengerusi lembaga penasihat.
"Beliau sangat sedar perjalanan dan urusan ketua perunding dan elemen perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak (dalam Scorpene)," katanya.
"Isu berkenaan terhenti dengan kemelut Najib dalam 1MDB."
Gabriel berkata persamaan lain ialah Najib memilih rakan rapatnya dan mereka yang berkaitan mengepalai urusan mega dengan Abdul Razak Baginda untuk Scorpene dan Low Taek Jho untuk 1MDB.
"Razak Baginda bukan kakitangan Kementerian Pertahanan, tetapi dipilih Najib untuk mengetuai rundingan.
"Malah dokumen sulit yang ditunjukkan kepada Suaram oleh peguam Perancis menunjukkan Razak Baginda dipilih kerana isterinya (Mazlinda Makhzan) berkawan rapat dengan isteri Najib (Rosmah Mansor).
"Adakah Jho Low, lelaki yang di tengah kontroversi 1MDB juga kawan Najib dan sekutunya?
"Peranan sebenar Jho Low dalam urusan bersama PetroSaudi kekal sebagai misteri," katanya.
Beliau berkata, rakan-rakan dan sekutu itu kelihatan mentadbir perbendaharaan kerajaan seperti mengeluarkan wang sendiri.
"Dokumen menunjukkan Razak Baginda dalam urusan pembelian Scorpene menubuhkan 2 syarikat khas. Syarikat pertama Perimekar dan kedua Terasasi yang ditubuhkan bagi menerima dana haram yang tidak diketahui umum.
"Dia dan bapanya mengawal pengarah. Dilaporkan di Parlimen, Perimekar menerima hampir RM550 juta, untuk khidmat koordinasi Terasasi menerima sehingga Euro 42 juta."
Gabriel berkata ia hampir sama dengan urusan 1MDB di mana laporan menunjukkan RM700 juta daripada RM1 bilion duit pelaburan 1MDB dipindahkan ke akaun bank Switzerland dimiliki dan dikawal Low, Goldstar Ltd.
Katanya, persamaan lain penglibatan Tan Sri Lodin Wak Kamaruddin dalam kedua-dua skandal itu.
Lodin merupakan pengarah Perimekar, syarikat yang terlibat dalam pembelian kapal selam itu pada 2010. Beliau mengetahui pemindahan wang Euro 114.9 juta ke dalam akaun Perimekar, katanya.
Gabriel berkata ironinya, satu-satunya klien Perimekar ialah kerajaan Malaysia.
"Lodin juga merupakan Lembaga Pengarah Tabung Haji dan pengerusi 1MDB. Beliau juga pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang memiliki 20% Perimekar," katanya.
No comments: