» » » Majoriti rakyat M'sia sepakat BR1M terlampau kecil jumlahnya berbanding kenaikan harga barang dan GST


WANG Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sejak mula diberikan oleh kerajaan pada 2012, reaksi yang diterima oleh masyarakat umum cukup menggalakkan. Berikutan itu, jumlahnya turut ditambah sehingga RM1,200 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Bajet 2017, Oktober lalu.

Namun, akibat kemerosotan nilai mata wang ringgit dan diburukkan lagi kenaikan harga barang-barang keperluan lain, menyebabkan jumlah nilai RM1,200 yang diterima agak kecil, malahan ada penerima BR1M beranggapan ia tidak banyak membantu bebanan ekonomi yang ditanggung mereka.

Mereka berkata, bagi orang yang memiliki kereta, tanggungan yang diterima sudah pasti semakin berat seperti perlu membayar pinjaman kepada bank, minyak petrol dan kos penyelenggaraan. Wang BR1M yang diterima sebenarnya tidak mencukupi.

Tidak kurang pula rakyat yang berpendapat, pemberian BR1M hanya macam 'gula-gula' sahaja dan itu pun bukan semua orang yang dapat. Sesudah dapat RM1,200, terpaksa bayar macam-macam cukai pula seperti GST.

Memetik laporan Oriental Daily, kata seorang netizen yang dikenali sebagai CheeSeng, kerajaan Switzerland sebelum ini mempunyai cadangan untuk memberikan wang bantuan kepada rakyatnya disebabkan negara mereka mempunyai pendapatan yang memberangsangkan.

"Bagaimana pun, cadangan daripada kerajaan Switzerland itu dibantah oleh kebanyakan rakyatnya kerana ia akan membebankan negara dan anak cucu mereka sendiri. Tetapi bagaimana dengan keadaan Malaysia," kata netizen itu.

Cadangan kerajaan untuk membenarkan penerima BR1M yang tidak memiliki kereta boleh menggunakan bantuan berkenaan untuk membeli kereta Proton Iriz, supaya mereka boleh menjana pendapatan sebagai pemandu Uber atau Grabcar turut tidak disetujui oleh ramai orang.

Seorang netizen, FaridAffand menjelaskan, hanya kerajaan Malaysia yang menggalakkan rakyat mencari kerja kedua iaitu menjadi pemandu Uber.

"Ini menunjukkan rakyat Malaysia hanya mampu hidup dengan terpaksa melakukan dua jenis kerja. Apabila ini terjadi, kita sudah tidak ada banyak masa bersama dengan ahli keluarga kita. Tambahan lagi, dengan menjadi pemandu Uber tentunya akan memberikan saingan kepada pemandu teksi yang lain," katanya.

Lapor akhbar ini lagi, dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pemberian BR1M adalah berbentuk rasuah kerana ia jelas digunakan untuk memastikan rakyat mengundi parti kerajaan dalam PRU turut disetujui oleh netizen.

Kata seorang netizen yang dikenali sebagai HansOh, pemberian BR1M adalah membeli undi daripada rakyat.

"Setiap parti politik demi pertahankan kuasa, terpaksalah beri macam-macam kepada pengundi ataupun penjawat awam. Yang sedihnya masih ada orang yang berkata ia adalah perkara biasa.

"Kalau kerajaan tidak beri, mereka akan rasa tidak puas hati, termasuklah kakitangan kerajaan. Jelas menunjukkan fikiran rakyat telah diracuni. Apabila kerajaan habis belanjakan wang, rakyat akhirnya menjadi mangsa dengan terpaksa membayar pelbagai cukai," katanya.


About Izikit

«
Next
This is the most recent post.
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .