Tumpuan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) akan terarah kepada usaha mempertingkatkan tahap kemahiran pekerja dan menjadikan pertumbuhan negara pada masa depan lebih bersandarkan kepada peningkatan dalam produktiviti negara.
Bagi tujuan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata penekanan akan diberi kepada aspek latihan berbentuk vokasional, bukan saja menerusi inisiatif kerajaan semata-mata, tapi turut melibatkan pembabitan sektor swasta.
Katanya, Malaysia tidak lagi boleh berterusan bersaing dengan kelebihan memiliki sumber tenaga kerja yang murah semata-mata, kerana jika ia berterusan, negara akan kekal sebagai negara membangun, atau negara dunia ketiga.
"Pekerja mahir (dalam negara) ketika ini hanya 25.3% saja, manakala 61.8% berkemahiran sederhana dan selebihnya rendah. Sebab itu dalam RMK11 yang saya akan bentang bulan depan kita nak tekankan kepada 'productivity led growth'... pertumbuhan masa depan negara mesti bersandarkan kepada peningkatan produktiviti," katanya.
Perdana menteri berkata demikian semasa berucap pada majlis Sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di Kuching, hari ini.
Sambutan Hari Pekerja bertemakan 'Pekerja Sihat Produktiviti Meningkat' tahun ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya diadakan di luar Semenanjung Malaysia, dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung dan peserta.
Najib berkata negara perlu berusaha mengukuhkan pertumbuhan ekonomi dengan memiliki kumpulan pekerja yang mempunyai daya saing tinggi.
Beliau berkata, komponen gaji pekerja dalam Keluaran Dalam Negara Kasar ketika ini adalah sekitar 30%, berbanding 28% pada tahun-tahun sebelumnya, dan perdana menteri berkata pada masa akan datang, beliau ingin melihat peratusnya meningkat hingga 40% sebagaimana yang dinikmati negara maju.
Beliau berkata kerajaan membuat segala perancangan yang teliti dalam pembangunan para pekerja, dan melaksanakan segalanya dengan lebih sistematik untuk menjamin masa depan yang lebih cerah buat semua, namun ia tidak boleh dijayakan dengan sekelip mata.
"Kita bukan kerajaan yang bebankan rakyat, kita nak bantu rakyat. Kita buat 'engagement' dengan rakyat. Kita tanya pendapat mereka," katanya.
Perdana menteri kemudiannya menyampaikan 18 Anugerah Hari Pekerja kepada pemenang pelbagai kategori.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot anak Jaem, barisan menteri Kabinet persekutuan dan negeri, serta pemimpin kesatuan sekerja.
sumber
No comments: