Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengarahkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk mengendalikan isu berkaitan kad tambah nilai prabayar.
Najib berkata, hanya Shabery yang boleh membuat sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.
"Shabery Cheek Please take charge of the topup issue. Mulai sekarang, sebarang pengumuman kepada rakyat hanya boleh dibuat oleh menteri KKMM saja," kata Najib di laman Facebook dan Twitter miliknya hari ini.
Di Twitter, Najib turut mengetag akaun Shabery di @shaberyc lalu dijawab olehnya dengan tweet yang berbunyi “@NajibRazak Yes Sir, saya akan jumpa dgn semua pihak utk dapatkan yg terbaik bagi rakyat dan negara.”
Beberapa pengguna media sosial mempersendakan pertukaran mesej di Twitter antara perdana menteri dan menteri komunikasi itu.
"Benda kecil pun lambat nak selesaikan," tweet seorang pengguna di akaun @_hafiz.
Seorang lagi menggunakan akaun @MieBird menulis komen: "Baru nak mesyuarat? hmmm."
Posting Najib di Facebook dan Twitter itu turut dikongsi lebih 500 kali dalam masa satu jam ia dimuatnaik.
Sebelum ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengarahkan syarikat telekomunikasi untuk menetapkan semula harga kad prabayar telefon kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 1 April.
Bagaimanapun, arahan yang sepatutnya berkuat kuasa hari ini (1 Mei) ditangguhkan selepas Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Halim Shafie membuat kenyataan pada Rabu isian semula telefon prabayar akan terus dijual dengan dikenakan GST.
Halim berkata, penyelarasan harga kepada kadar pra GST itu agak mustahil untuk dilaksanakan bermula 1 Mei seperti yang diminta kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula kepada sistem.
sumber
No comments: