Kerajaan Selangor tegas menolak pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana ia hanya menzalimi rakyat, kata menteri besarnya menurut Sinar Harian hari ini.
Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun sistem itu telus, kerajaan pusat seharusnya berpegang kepada prinsip asas iaitu berlaku adil, terutama sekali kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.
Katanya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam semalam, sistem itu bakal memberi kesan kepada golongan miskin dan sederhana kerana mereka tidak pernah dikenakan cukai sebelum ini.
“Orang yang berpendapatan tinggi tidak ada kesan pun, tetapi golongan miskin yang sebelum ini tidak bayar pun cukai, mahu makan roti canai, sardin.
"Bukan mereka mahu elak cukai pun, tetapi pendapatan mereka sememangnya di luar lingkungan untuk membayar cukai pendapatan. Jadi di mana keadilan itu?
“GST ini adalah zalim dan menunjukkan Umno akan terkubur dalam PRU akan datang,” kata Azmin yang juga ahli DUN (Adun) Bukit Antarabangsa.
Beliau juga berpendapat, ketirisan dan rasuah perlu dibendung terlebih dahulu sebelum GST dilaksanakan.
“Beli jet tak ada pula tanya dahulu, GST pula kata halal. Jual dulu jet peribadi. Tutup dahulu yang tiris, yang bocor, baru boleh cukai.
"Kenakan cukai kepada yang kaya saja, bukan rakyat miskin. Saya dengan ini mengisytiharkan kerajaan Selangor menolak GST oleh kerajaan BN.
“Cukai sewajarnya dibezakan dengan golongan mampu dan tidak mampu. GST yang diperkenalkan Umno tidak mematuhi pun prinsip asas ini," beliau dipetik berkata akhbar itu.
Azmin juga mendakwa, pada ketika ini hanya 10% saja dari rakyat berpendapatan tinggi dan melepasi garis ditetapkan yang membayar cukai, manakala 90% lagi tidak.
Katanya, sistem yang setakat ini dilaksanakan di 162 negara itu dimulakan pada kadar yang minima di negara lain.
"Contohnya, Singapura dulu kenalkan cukai dengan kadar 3% saja dan cukai pendapatan mereka diturunkan.
“Kita tetap tolak GST kerana ia sistem cukai yang zalim,” katanya sambil mendakwa, kerajaan persekutuan juga celaru dan tidak faham dengan sistem GST.
“Bagaimana mahu cipta pendapatan baru jika Jabatan Audit Negara sendiri kata berlaku ketirisan dan seleweng lebih RM20 bilion?
“Amalan kerajaan pusat sekarang ini pun semua rang undang-undang yang dibentang tidak pernah didengar oleh jawatankuasa untuk dibincang dan mendapat persetujuan ahli dewan rakyat, semuanya dipaksa.
“Tokoh besar seperti Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai pengalaman luas dalam kerajaan, namun mengapa pandangan mereka tak pernah diterima?”
sumber
No comments: