Selepas berbulan-bulan mengasak sedikit demi sedikit, Dr Mahathir Mohamad akhirnya memutuskan mengisytiharkan serangan terbuka terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Lebih menarik serangan itu dilancarkan sehari sebelum ulang tahun keenam pentadbiran Najib sebagai perdana menteri, yang jatuh pada hari ini.
Langkah itu dilihat usaha keduanya untuk menjatuhkan perdana menteri, yang berjaya pada kali pertama. Ironinya ia menguntungkan Najib ketika itu.
Ketika itu, Mahathir percaya bahawa Najib pemimpin terbaik untuk menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan persoalan sekitar pembunuhan Altantuya Shaariibuu tidak timbul.
Bagaimanapun, ketika menantunya, seorang graduan Oxford yang sering dirujuk antara “budak tingkat empat”, dikatakan mempengaruhi pentadbiran Abdullah, Mahathir pun membuka silatnya.
Malah, beliau yang sering berdepan cemuhan “tidur” ketika bertugas, Abdullah yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah,dikatakan mula menyudutkan Mahathir daripada politik negara ini.
Abdullah malah menghadiahkan BN kejayaan besar dalam pilihan raya umum 2004, yang dikenali sebagai “gelombang biru”.
Kisah Pak Lah
Mahathir sudah tentu tersentak dengan perkara itu.
Lebih-lebih lagi media arus perdana tidak lagi memberikan ruang kepadanya sehingga terpaksa bercakap kepada sumber berita alternatif seperti Malaysiakini, portal berita ini.
Bagaimanapun selepas pilihan raya umum 2008, apabila BN kalah teruk sehingga hilang lima negeri ke tangan Pakatan Rakyat, Mahathir mengintai peluangnya, dan memanfaatkannya dengan baik.
Pada Mei tahun itu, seluruh negara terkejut.
Mahatir dan isterinya Tun Siti Hasmah Ali, anaknya Datuk Mokhzani dan veteran politik Tan Sri Sanusi Junid keluar Umno Baru.
Mahathir mengasaskan Umno Baru pada 1988 selepas Umno sebelum itu diharamkan.
Mahathir juga menggesa anggota Umno bertindak sama untuk memberikan tekanan kepada Abdullah supaya berundur.
Langkah itu sudah pasti tidak disangka-sangka Abdullah kerana Mahathir sendiri yang menamakannya sebagai pengganti.
Borang, yuran RM2 pada Najib
Pada 4 April 2009, sehari selepas Najib menjadi perdana menteri, Mahathir kembali ke pangkuan Umno dengan menyerahkan borang permohonan dan yuran keanggotaaan RM2 kepada Najib.
Dengan wajah ceria Najib berkata kemasukan semula Mahathir sudah pasti mengukuhkan kembali parti pemerintah.
Bagaimanapun, Mahathir ketika ditanya sama ada akan sentiasa bersikap kritis terhadap pentadbiran kerajaan, menjawab: Saya akan sentiasa kritis bila Umno buat salah”.
Tiada siapa ketika itu menjangkakan Mahathir akan mengotakan janjinya.
Sekarang, roda karma berputar kembali dan , Najib Razak berada di tempat Abdullah dahulu – genting menunggu serangan penghabisan.
Hari ini media arus perdana kembali tidak mengendahkan Mahathir – perdana menteri selama 22 tahun Malaysia .
Tetapi adakah lelaki yang sering dirujuk sebagai negarawan oleh banyak orang itu akan keluar Umno sekali lagi? Adakah akan ada protes kali kedua sebegitu?
No comments: