» » 'Saya yakin Muhyiddin Yassin tak akan buat kesilapan sama seperti Najib Razak'


Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan melakukan kesilapan sama jika menggantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, mengikut tradisi dalam parti Melayu itu, timbalan presiden akan diangkat sebagai penganti sekiranya Najib meletakkan jawatan.

"Kalau ikut adat Umno, tentulah timbalannya," kata Dr Mahathir semasa menjawab soalan daripada orang ramai semasa forum Bicara Negarawan yang diadakan di Kelab K, Taman Melawati, Selangor.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu juga menyatakan keyakinan terhadap Muhyiddin yang tidak akan mengulangi kesilapan seperti dilakukan pentadbiran Najib.

"Saya yakin kalau timbalannya naik, dia tidak akan buat benda macam itu.

"Dia tahu, kalau buat macam itu, dia pun akan kena macam itu juga," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir ketika ini lantang mengkritik Najib dengan membangkitkan pelbagai skandal, antaranya isu melibatkan syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membuka semula cerita pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan mempertikaikan polisi diperkenalkan Najib yang dilihat merugikan negara.

Dr Mahathir juga mempersoalkan gaya hidup mewah Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Baru-baru ini, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan mengatakan Dr Mahathir tidak keseorangan dalam menegakkan kebenaran, sambil melahirkan sanjungan terhadap pemimpin veteran Umno tersebut yang disifatkannya berani melawan kuasa Barat.

Walaupun Muhyiddin mengeluarkan kenyataan tentang pendirian Dr Mahathir dalam kempen anti perang, ia bagaimanapun simbolik secara tidak langsung menyokong bekas perdana menteri negara yang masih mempunyai pengaruh dalam Umno itu.

Dr Mahathir sebelum ini mengakui dirinya keseorangan dalam mengkritik Najib, bagaimanapun satu-persatu pihak tampil untuk berdiri di belakang bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir dalam blognya menulis: "Saya sedar saya keseorangan. Tetapi jika saya juga berasa bertanggungjawab kepada rakyat salahkah?

“Apabila duit rakyat hilang dan ini tersembunyi dari rakyat salahkah kalau saya tanya?

“Saya fikir jika diadakan soal jawab melalui TV tentulah kerana ingin beritahu rakyat, bukan saya sahaja."

Muhyiddin sebelum ini juga pernah bekerjasama dengan Dr Mahathir dalam menyingkirkan bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .