Walaupun sudah bersara daripada kerajaan, Tun Dr Mahathir Mohamad masih dilihat berkarisma dan mempunyai ketajaman kata-kata sama seperti berada dalam kerajaan dahulu.
Dua aspek ini paling digeruni lawan dan ketika ini ia satu-satunya senjata yang ada pada bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu.
Dalam jelajah pertama Dr Mahathir di Kelab K, Taman Melawati hari ini, orang ramai mula berkumpul di dewan seawal 8 pagi dan dewan mula penuh sehingga melimpah ke luar dewan pada 10 pagi.
Kira-kira 1,000 orang menanti dengan sabar pemimpin kesayangan mereka yang baru-baru ini mendakwa "berseorangan" menyatakan kebenaran.
Perhimpunan kali ini seakan sama dengan awal jelajah beliau ketika berlaku perbalahan dengan pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga dipaksa melepaskan jawatan, lebih simbolik lagi ia dewan sama di mana Dr Mahathir melancarkan serangan kepada bekas timbalannya itu.
Bekas presiden Umno itu tiba pada 10 pagi disambut dengan laungan "Hidup Mahathir".
Beliau diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, yang juga merupakan teman akrabnya sejak mula-mula berkecimpung dalam politik.
Aura dibawa Dr Mahathir nyata berbeza, mereka yang datang ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latarbelakang.
Kereta mewah keluar dan masuk, orang ramai tidak kira kaum dan agama tidak sabar mendengar apa yang bakal dikatakan oleh bekas perdana menteri itu.
Sejak awal karier politiknya, Dr Mahathir dikenali dengan kebijakan menyusun kata dan ayat dalam ucapan politiknya, seorang yang fokus dan tahu apa yang hendak dicakapkan.
Pada awal ucapannya, Dr Mahathir menyusun kata dengan menceritakan hubungannya dengan bapa Datuk Seri Najib Razak, Tun Abdul Razak yang juga individu yang bertanggungjawab membawa masuknya semula ke dalam Umno selepas dibuang parti pada 1969 kerana menentang Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.
Dr Mahathir bijak menjelaskan isi penting dalam hujah politiknya, banyak kata berkias dilontar oleh beliau semasa menceritakan perihal punca tidak menyokong Najib lagi.
Sama ada orang ramai faham atau tidak, itu bukan persoalannya. Daripada pengamatan sepanjang forum itu berlangsung, kata-kata berkias itu seperti difahami orang ramai.
Dr Mahathir menceritakan beliau tidak pernah menceritakan soal kerajaan kepada isterinya, mempersoalkan mengapa Najib tidak letak jawatan walaupun prestasinya lebih buruk berbanding Abdullah.
Seorang audiens menjerit, "Rosmah tak bagi".
Dr Mahathir tidak menyebut langsung tentang isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor namun daripada bahasa badan dalam dewan menunjukkan secara jelas ramai yang tidak senang dengan isteri perdana menteri itu.
Kemahiran Dr Mahathir menjentik hati dan fikiran orang ramai, kebolehan berpolitik ini tidak lagi berada dalam Umno hari ini.
Mungkin ramai yang sibuk mengejar kontrak dan projek, terlupa sebentar tanggungjawab terhadap parti utama kaum Melayu terbesar itu.
Kumpulan masyarakat yang hadir dalam ceramah Dr Mahathir terdiri daripada kelas pertengahan yang majoritinya Melayu.
Rata-rata terdiri daripada bekas penjawat awam dan penyokong setia Umno.
Antara tokoh yang hadir bersama dalam program hari ini ialah Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali, pensyarah kontroversi Dr Ridhuan Tee Abdullah, bekas menteri kabinet Datuk Zaid Ibrahim, bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan juga salah seorang ahli kumpulan sederhana G25 Tan Sri Dr Ismail Merican.
Turut kelihatan beberapa blogger Umno yang datang untuk mendengar ceramah beliau.
Dr Mahathir nyata mempunyai penyokong setianya, seorang audiens bangun lalu bertanya kepada orang ramai "Adakah kita lihat hari ini Tun seorang yang nyanyuk seperti dakwaan setengah pihak?"
Soalan tersebut disambut dengan jawapan "Tidak" daripada orang ramai yang berada dalam dan luar dewan.
Seperti biasa, Dr Mahathir membangkitkan isu seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu pembunuhan wanita Mongolia Altantunya Shaariibuu, isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kemewahan keluarga Najib.
Isu-isu populis yang dibawa Dr Mahathir ini dilihat mampu meraih sokongan majoriti rakyat, malah ia tidak tertumpu menyerang Umno semata-mata.
Selepas 2 jam lebih bercakap, Dr Mahathir menamatkan jelajah pertamanya.
Orang ramai mengiringi beliau sehingga ke depan pintu kereta, ramai juga yang mengambil peluang untuk bergambar dengan bekas perdana menteri itu.
sumber
No comments: