» » Muhyiddin arah segerakan tindakan tangani masalah pelaksanaan GST


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengarahkan agensi penguatkuasaan supaya mengambil tindakan segera menangani masalah dalam pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Kata Muhyiddin, beliau bercakap dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek supaya langkah perundangan dan penguatkuasaan dapat dilakukan segera.

"Kalau lama sangat orang tak lihat orang yang langgar undang-undang dikenakan hukuman yang setimpal," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara di Bukit Mertajam hari ini.

Katanya masalah pelaksanaan GST berlaku disebabkan kekeliruan kerana GST yang dilaksanakan di Malaysia melibatkan tiga kategori.

"GST yang kita buat ada pengecualian, ada zero rated (berkadar sifar) dan tak dikenakan GST. Tak ada negara di dunia yang buat GST macam Malaysia. Malaysia buat cara kita sendiri. Di lebih 160 negara yang laksanakan GST, tak ada pengecualian, semua dikenakan (GST). Itu kelebihan kita," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata apabila GST yang hendak dilaksanakan itu ada kelainan daripada negara lain, masalah berlaku dalam membezakannya dengan yang dilaksanakan dengan negara lain.

"Rakyat tak faham kenapa itu kena (GST), kenapa ini tak kena. (Selain itu) kenapa patut ada sales tax (cukai jualan) bila diperkenalkan GST, sedangkan tak payah dikenakan lagi. Kalau dulu 10 + 5 ..sekarang ini hanya enam percent (peratus).

"Saya dapat aduan ada sesetengah pihak kenakan 'over the path sales tax' (melebihi kadar cukai jualan yang tidak sepatutnya). Ini tak betul. Rakyat patut bayar kurang tetapi kena bayar lebih daripada sepatutnya," katanya.

Muhyiddin berkata semua perkara yang dibangkitkan dan aduan berkenaan GST serta kekeliruan yang ada perlu diberi tumpuan dan penjelasan berterusan.

Beliau berkata GST merupakan tindakan berani kerajaan untuk mewujudkan struktur baharu percukaian yang amat berkesan, cuma yang menjadi masalah di peringkat awal pelaksanaan, yang sememangnya dijangka.

"Ini sudah dijangka (masalah ketika awal pelaksanaan), sehingga timbul rasa tak tidak puas hati, rasa tak senang hati. Dalam kempen pilihan raya, rasa tak puas hati ia memang membimbangkan kita.

"Tetapi kita perlu hadapi, kita tidak boleh berundur. Ini satu keputusan jangka panjang yang akan bawa faedah kepada negara dan bawa faedah kepada rakyat, dengan bentuk percukaian baharu. Masuk dalam dana kerajaan untuk beri manfaat kepada rakyat," kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata menjadi tanggungjawab jentera penerangan Barisan Nasional (BN) dan jabatan bertanggungjawab untuk memberi penjelasan kepada rakyat.

"Walaupun tak puas hati kerana mereka terpaksa membuat bayaran (GST), setidak-tidaknya mereka faham, dan (kerajaan) cari jalan supaya pelaksanaannya tidak membebankan dalam jangka masa panjang. Hal-hal sebegini perlu dijelaskan," katanya.

PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei, menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), PKR, Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon Bebas.

Calon BN Suhaimi Sabudin akan dicabar Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Salleh Ishak (Bebas) dan Azman Shah Othman daripada PRM.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .