Para peruncit kini lebih rela untuk tidak menjual kad tambah nilai prabayar daripada bertikam lidah dengan para pembeli.
Tindakan itu juga mengelak mereka menanggung kerugian daripada jualan kad tambah nilai itu, sebaik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkuatkuasa bulan ini.
Tinjauan Malaysiakini mendapati, para pekedai ini tidak layak mendaftar bagi mengenakan cukai GST kerana pendapatan kurang daripada RM500,000 setahun seperti disyaratkan.
Namun, mereka terpaksa menanggung cukai tambahan enam peratus dari pengedar kad prabayar tersebut jika ingin menjualnya.
“Kita peniaga kecil tidak daftar GST, (kita) tak boleh kenakan GST kepada pelanggan, tapi barang yang kita ambil (dari pengedar) kena GST,” kata seorang pengusaha kedai runcit, Shamsuddin Moidutty (kiri).
Shamsuddin, 55, beliau sebelum ini terpaksa bertikam lidah dengan pelanggan kedainya di Bukit Taman Angkasa, Kerinchi apabila beliau menjual dengan harga baru yang dikenakan GST.
Seorang lagi peniaga, Amin Mohd Saman berkata, beliau hanya mendapat untung satu peratus daripada jualan kad prabayar bernilai RM10 semasa GST belum berkuatkuasa.
“Kalau dah kena GST, saya tanggung cukai orang dan jual kad prabayar ini tidak ada untung langsung.
“Kalau pelanggan tidak beli kad prabayar pun saya tidak rugi, saya malas hendak bergaduh dengan pelanggan jadi saya suruh saja beli di (kedai serbaneka),” katanya.
Amin, 49, berkata, walaupun tidak mendapat keuntungan beliau terpaksa menjual kad prabayar ini demi menarik pelanggan ke kedainya.
"Untung memang tidak ada, saya jual kad lama yang saya beli sebelum GST. Tak tahu stok tahan sampai bila...
"Biasanya kalau pelanggan datang beli kad prabayar, mereka akan beli barang lain juga jadi kad prabayar ini macam pelaris kedai saja," katanya ketika ditemui di kedainya di Pantai Dalam.
Sementara itu, pengedar kad prabayar Hanif Abdullah berkata beliau sudah menghentikan penjualan kad prabayar itu kepada peruncit memandangkan pengumuman dari kerajaan kini masih mengelirukan.
“Kami diberitahu sebelum 1 April kad prabayar tak kena GST. Tapi, esoknya (kerajaan kata) kad prabayar kena GST.
“(Dengan GST) harga tetap RM10.60 tapi telco bagi lebih masa berbual dan SMS.
“Tapi kalau pekedai baca berita 1 April dan tak baca berita 2 April, nanti dia cakap kita sengaja kenakan GST.
“Jadi, baik tak payah jual,” kata Hanif, 32, yang sudah menjadi pengedar kad prabayar sejak tiga tahun lalu.
Tambahnya, beliau juga tidak mendaftarkan perniagaan di bawah GST dan terpaksa menanggung cukai GST dari syarikat telekomunikasi.
“Sebelum GST kita dapat harga RM9.70, kita boleh jual kepada peruncit RM9.90, jadi peruncit boleh jual RM10 dan untung sepuluh sen.
“Sekarang tak boleh jual lagi sebab saya dan kedai runcit tak berdaftar GST," katanya.
Jualan kad prabayar berkenaan sebelum ini dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang ditanggung oleh syarikat telekomunikasi (telco).
Cukai berkenaan kini digantikan dengan GST, yang dikenakan oleh syarikat telco ke atas pengguna.
Perkara itu menimbulkan kekeliruan di kalangan penjual dan pembeli. Malah, daripada 800 aduan yang diterima pada hari pertama pelaksanaan GST, 40 peratus daripadanya membabitkan kad tambah nilai.
Selepas pelbagai aduan diterima sebagai langkah peralihan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengumumkan bahawa pengguna akan mendapat semula nilai dari GST itu dalam bentuk tempoh perbualan dan mesej teks percuma.
Bagaimanapun tempoh peralihan bermula 3 April 2015 selama tiga bulan.
No comments: