» » Mahfuz atur panggilan telefon antara Dr Mahathir dan Sirul


Datuk Mahfuz Omar merancang mengatur satu panggilan telefon antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar, yang disabitkan bersalah dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu susulan pertemuan antara ibu Sirul dengan bekas perdana menteri itu semalam.

Ahli Parlimen PAS itu berkata, komunikasi antara mereka dibuat bagi membolehkan Dr Mahathir mendengar cerita daripada pihak Sirul berhubung kes pembunuhan warga Mongolia itu di Shah Alam pada 2006.

"Saya percaya saya boleh aturkan panggilan telefon antara Sirul dan Dr Mahathir akan setuju bercakap dengannya," kata wakil rakyat Pokok Sena itu, yang juga ketua penerangan PAS, pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dr Mahathir baru-baru ini menggesa kes Altantuya dibuka semula bagi menyiasat dakwaan Sirul yang beliau hanya bertindak menurut arahan daripada pegawai atasan mereka.

Mahfuz petang semalam menemukan ibu Sirul, Piah Samad, seorang ahli keluarganya dan Dr Mahathir di pejabat bekas perdana menteri itu di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Sirul ketika ini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen di Sydney, Australia selepas melarikan diri dari negara ini tahun lepas.

Beliau berlepas ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya kerana membunuh Altantuya.

Penahanan Sirul di Australia menimbulkan persoalan tentang kes Altantuya.

Pemerhati dan peguam berkata, Sirul dan bekas rakan sekerjanya, Azilah Hadri, hanya menurut perintah pihak atasan.

Pegawai atasan itu tidak memberi keterangan di mahkamah dan kedua-dua bekas anggota polis itu berkata, mereka tidak pernah bertemu dengan Altantuya sebelum pembunuhan itu.

Peguam juga berhujah, motif kes tersebut masih belum dikenal pasti tentang mengapa Altantuya dibunuh.

Mahfuz merupakan salah seorang daripada hanya beberapa orang yang berjaya bercakap dengan Sirul, melalui telefon dan juga secara bersemuka di Australia.

Mengenai pertemuan mereka dengan Dr Mahathir semalam, Mahfuz berkata bekas perdana menteri itu mendengar kebimbangan Piah dan melahirkan rasa simpati terhadap apa yang dilalui keluarga itu.

"(Dr Mahathir) kata beliau sedih kerana beliau juga mengenali Sirul, kerana Sirul bertugas semasa beliau menjadi perdana menteri. Ada gambar Sirul bersama Dr Mahathir.

"Beliau tidak membuat sebarang janji atau menawarkan sebarang bantuan, tetapi beliau meminta supaya kes itu dibuka semula. Ini memberi sedikit harapan kepada keluarga Sirul,” katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .