Pemuda Umno Wilayah Persekutuan hari ini merayu Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kembali menyokong dan membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Ia berikutan kritikan berterusan yang dilemparkan bekas perdana menteri itu terhadap Najib baru-baru ini.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad berkata, sokongan Dr Mahathir terhadap Najib amat penting bagi membina kembali kekuatan dan kelangsungan kaum Melayu.
"Sebagai anak muda Melayu, kami pun tidak rela parti ini dihancurkan dengan hanya permainan persepsi.
"Sekian lama kita bekerja membina bangsa, sekian lama kita pertahan kedaulatan Raja-raja, janganlah ianya terus dirosakkan oleh pemimpin terdahulu," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
Beliau turut menyatakan kekecewaan dengan kritikan Dr Mahathir terhadap Najib yang dibuat secara berterusan dan terbuka tambahan ianya ketika kepimpinan Umno semakin mendapat perhatian dalam membina kembali kekuatan parti.
Mengakui kritikan sudah menjadi lumrah dalam dunia politik, Razlan berkata ketika era pentadbiran Dr Mahathir beliau juga tidak terlepas daripada beberapa kontroversi yang tidak disenangi rakyat.
Mengambil contoh situasi tersebut, Razlan berkata dengan kritikan yang dilemparkan terhadap pentadbiran Dr Mahathir bagaimanapun tidak menghilangkan sokongan kepimpinan parti terhadap bekas perdana menteri itu.
"Dalam dunia politik, desakan pembangkang, fitnah, wujud persepsi negatif, pandangan negatif semua ala tegar biasa, semasa zaman Dr Mahathir juga tidak lekang dengan masalah dalaman.
"Dr Mahathir juga berhadapan dengan pelbagai tentangan terhadap pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur , pembinaan Putrajaya dan juga ada yang kurang berjaya seperti syarikat penerbangan MAS.
"Pembinaan persepsi negatif dulu dan sekarang amat berbeda, permainan propaganda hari ini dan dahulu juga dilakukan dengan cara dan pendekatan yang lebih mudah dan luas," katanya.
Katanya, ini bukan pertama kali Dr Mahathir bertindak menghentam perdana menteri kerana ia pernah dilakukan ketika di zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tambahnya dek kerana hentaman Dr Mahathir terhadap Abdullah menyebabkan Umno menerima kesan apabila hampir kalah pada Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12).
"Pada PRU13, ada juga yang meramalkan BN akan kalah tetapi sebaliknya berlaku, segala yang terjadi semasa PRU12 dan 13 tidak lain tidak bukan ianya kena mengena dengan hentaman terus menerus Dr Mahathir kepada perdana menteri lepas," katanya.
Selain itu, Razlan berkata sepatutnya mantan perdana menteri itu tidak menimbulkan isu membabitkan Najib kerana ia sudah dinafikan oleh presiden Umno sendiri.
"Najib sudah pun bersumpah dan menafikan beliau terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shariibuu dan kes ini diputuskan oleh mahkamah.
"Isu 1MDB sudah di buka kepada siasatan audit dan sekiranya ada sebarang salah laku, proses perundangan akan diambil terhadap pihak yang terbabit ke muka keadilan," katanya.
Dr Mahathir menerusi blognya pada Khamis melontarkan kritikan paling keras terhadap Najib dengan mengatakan rakyat Malaysia tidak mempercayai perdana menteri itu dan meramalkan kejatuhan kerajaan pemerintah Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya presiden Umno berkenaan terus berkuasa.
Perdana menteri paling lama berkhidmat itu tahun lalu menarik balik sokongannya kepada Najib dan menyerunya meletak jawatan.
"Sesungguhnya rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak percaya lagi kepada Najib. Ahli Umno dan pemimpinnya perlu sedar Umno, dan dengan itu BN, akan kalah jika Najib memimpin Umno hingga PRU14.
"Apabila Umno kalah, orang Melayu akan kutuk kepimpinan yang menjadikan parti keramat ini begitu lemah sehingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri. Sekali Umno kalah, ia tidak akan dapat dipulih semula," tulis Dr Mahathir menerusi blog peribadinya itu.
No comments: