Sebuah helikopter terhempas di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih petang ini dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengatakan tiga mayat sudah dijumpai.
Portal Suara TV melaporkan, sekurang-kurangnya terdapat enam penumpang termasuk orang kenamaan (VIP) seperti Ahli Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.
Turut terbunuh juruterbang helicopter Kapten Clifford William Fournier, pembantu juruterbang, Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin Razakan B Seran dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Baiduri Sdn Bhd Datuk Tan Huat Seang.
Portal The Star Online melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Jamaludin terbunuh dalam nahas udara itu.
Memetik sumber portal berita SuaraTV melaporkan helikopter jenis AS 3655N2 Dauphin (9M-1GB), dikatakan terbakar sebelum terhempas.
Mangsa juga dikatakan pulang dari majlis perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di Pekan, Pahang.
Helikopter itu dikatakan terbang ke Subang dari Kuantan.
Bernama melaporkan jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kajang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.57 petang tadi.
"Maklumat awal yang diterima menyatakan helikopter itu terhempas dan terbakar pada 4.55 petang ini," katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.
Beliau berkata sebanyak tiga pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Kajang, Bangi dan Semenyih diarah ke lokasi kejadian.
Bomba juga belum mengenal pasti jenis helikopter itu.
Sementara itu, Bernama melaporkan jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) berkata tiga mayat nahas helikopter itu sudah ditemui, dan pihak berkuasa sedang mencari 3 lagi penumpang lain.
Jurucakap pasukan penyelamat JPAM berkata, kemalangan itu berlaku ketika hujan dan angin kencang.
"Unit Forensik polis akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pastimangsa nahas itu," katanya kepada Bernama.
No comments: