Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengelak menjawab kritikan yang dilontar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kedua-dua, perdana menteri dan menteri Wilayah Persekutuan itu hanya berlalu pergi sambil mengangkat tangan kepada wartawan selepas menghadiri majlis pelancaran Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia di Bukit Jalil petang ini.
Kedua-duanya tidak menjawab sepatah pun apabila ditanya tentang kritikan oleh pemimpin veteran Umno yang berpengaruh tersebut, yang dilihat seakan tidak mahu berhenti daripada terus mengecam Najib dan pentadbirannya.
Tengku Adnan ketika ditekan oleh wartawan supaya mengulas kritikan oleh perdana menteri paling lama berkhidmat tersebut hanya menjawab: "Tiada komen".
Dr Mahathir pada Khamis lepas menyenaraikan pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap Najib selama ini yang menurutnya masih belum dijawab dengan sempurna.
Ia termasuk dakwaan bekas pengawal peribadi Najib, Sirul Azhar Umar yang didapati bersalah kerana membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, dan kini berada di Australia.
Dr Mahathir menulis di dalam blognya chedet.cc, dakwaan Sirul yang dia “menerima arahan” untuk membunuh Altantuya itu harus disiasat kerana Sirul pernah bekerja dengan Najib.
Dr Mahathir juga membangkitkan masalah dihadapi 1MDB dan mempersoalkan keperluan Putrajaya memberi kemudahan kredit hampir RM1 bilion kepada syarikat itu, di samping tindakan 1MDB membeli tanah kerajaan dan memeterai perjanjian dengan syarikat yang tidak dikenali, PetroSaudi International.
Pemimpin Umno lain juga dilihat terdesak dalam menangkis kritikan Dr Mahathir yang semakin serius.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dilaporkan menggesa Najib menjawab setiap kritikan yang dilempar oleh Dr Mahathir.
Semalam, Dr Mahathir sekali lagi membuat kritikan keras terhadap Najib dengan mempersoalkan ke mana wang 1MDB disalurkan dan untuk tujuan apa ia digunakan.
No comments: