Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menyatakan kesudian untuk "bekerjasama" dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, serta sesiapa sahaja dalam memperjuangkan sesuatu perkara.
Ahli Parlimen Gua Musang itu bagaimanapun berkata, isu membabitkan beliau menggantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri, sebagaimana cadangan seorang bekas menteri, tidak timbul memandangkan ia suatu perkara yang berbeza.
"Bekerjasama dengan Dr Mahathir dan siapa-siapa pun, tidak ada masalah. Tetapi untuk soal perdana menteri, itu soal lain, tidak boleh campur," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Datuk Zaid Ibrahim dalam tulisannya di blognya hari ini mencadangkan Tengku Razaleigh, lebih dikenali sebagai Ku Li, sebagai calon terbaik memegang tampuk pemerintahan negara menggantikan Najib.
Bekas menteri yang bertanggungjawab hal ehwal undang-undang itu turut meminta Dr Mahathir memberi sokongan kepada Ku Li dan melupakan persengketaan lama.
Ku Li bagaimanapun berkata, cadangan berkenaan adalah pendapat peribadi Zaid.
"Dia boleh cadang, itu pandangan dia. (Isu ini) ada hierarkinya, saya orang luar... mesti mereka timbang begitu. Ini hierarki... biasanya begitulah anggapan orang," katanya.
Ku Li turut menjelaskan kepada pemberita yang beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Dr Mahathir walaupun tercatat dalam sejarah sebagai seorang yang pernah mencabar pentadbiran perdana menteri paling lama berkhidmat itu.
"Saya tidak berkelahi dengan Dr Mahathir. Kalau cakap sedikit-sedikit macam ini tidak faham latar belakang susah juga," katanya.
"Saya berkawan dengan Dr Mahathir sudah berpuluh tahun, saya bukan duduk Parlimen hari ini sahaja, saya sudah 10 penggal," katanya.
Zaid menulis mengatakan, daripada semua pemimpin Umno yang ada sekarang, Ku Li merupakan tokoh terbaik untuk mengambil alih jawatan perdana menteri kerana kejujuran dan integritinya.
Beliau juga menyeru Dr Mahathir, yang satu ketika dulu merupakan 'musuh' Ku Li, menyokong bekas menteri kewangan itu untuk jawatan perdana menteri, mengatakan kedua-duanya perlu berdamai untuk tujuan yang lebih besar.
"Jika beliau benar-benar mahu menyaksikan perubahan dalam memerangi gejala rasuah yang kini sistemik, Dr Mahathir perlu menyokong Ku Li sebagai orangnya untuk mengambil alih jawatan perdana menteri selepas Najib," kata Zaid, bekas pemimpin Umno Kelantan.
sumber
No comments: