Kerajaan bercadang mewujudkan garis panduan berhubung pelaksanaan kutipan caj perkhidmatan yang dikenakan oleh hotel dan restoran, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata cadangan itu masih di peringkat awal berikutan rungutan pengguna berhubung caj perkhidmatan selepas penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 1 April lepas.
Berikutan tiada kawalan dan garis panduan yang jelas berkaitan kutipan caj perkhidmatan, perbincangan awal diadakan bersama pihak perhotelan dan pengusaha restoran dua hari lepas, katanya.
"Terdapat juga cadangan untuk caj itu dihapuskan dan digantikan dengan perkara lain," katanya dalam sidang media harian bersama Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T. Subromaniam, di sini hari ini.
Alias berkata caj perkhidmatan dikenakan oleh pengendali hotel dan restoran tertentu pada kadar maksimum 10% selain daripada kos barangan dan perkhidmatan.
Caj perkhidmatan ini merupakan amalan yang dipraktikkan dalam industri hospitaliti dan kutipan caj ini dikumpulkan oleh majikan sebagai dana insentif untuk diagihkan kepada pekerja.
sumber
No comments: