» » 'Kenyataan Dr Mahathir bukan hasutan'


Polis hari ini menjelaskan, kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung isu berkaitan pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan merupakan satu hasutan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dipetik The Star Online hari ini berkata, ini kerana bukan Dr Mahathir seorang sahaja yang membangkitkan isu tersebut dan bercakap mengenainya.

"Dr Mahathir bukan satu-satunya orang yang membangkitkan isu ini. Ramai lagi sebelum ini," kata Khalid.

Ditanya pemberita sekiranya kenyataan bekas perdana menteri itu boleh dianggap sebagai menghasut, Khalid menjawab: "Bagi saya, tidak."

Sementara itu, pada satu majlis di Sepang, Khalid dilaporkan Bernama berkata, pihak polis menjalankan siasatan terhadap semua dakwaan terbaharu dibangkitkan Sirul Azhar Umar dan berpendapat tidak mempunyai apa-apa untuk meneruskan siasatan.

Beliau berkata, Dr Mahathir mungkin tidak mengetahui tindakan dan siasatan dijalankan polis apabila menyarankan di dalam blognya semalam agar dakwaan Sirul diberi perhatian.

Khalid berkata polis bertemu Sirul yang berada dalam tahanan pihak berkuasa Australia untuk diambil keterangan berhubung semua dakwaan yang dibuatnya itu.

"Sebenarnya kami jalankan siasatan terhadap apa jua kenyataan yang dibangkitkan Sirul... mungkin, dan sudah tentu Tun (Dr Mahathir) tidak tahu apa tindakan dan siasatan yang kami jalankan.

"Semua dakwaan termasuk yang baharu, kami jalankan siasatan dan selepas meneliti hasil siasatan, kami berpendapat tidak ada apa-apa perlu kami buat untuk meneruskan siasatan," beliau dipetik Bernama berkata, mengulas saranan Dr Mahathir supaya kenyataan Sirul disiasat.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bas daripada AirAsia kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Khalid berkata, apa yang dibangkitkan bekas anggota Unit Tindakan Khas itu sebenarnya meliputi perkara diketahui polis sejak dahulu.

Dr Mahathir, dalam blog popularnya chedet.cc semalam menulis, rakyat Malaysia kini tidak lagi mempercayai Najib dan Barisan Nasional akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya Najib terus memimpin parti itu.

Beliau mencatatkan senarai panjang tuduhan yang dibuat terhadap Najib yang pada pandangannya masih belum dijelaskan dengan sempurna oleh perdana menteri.

Ia termasuk kes pembunuhan Altantuya; 1MDB; kemewahan anak tiri Najib, Riza Aziz dan jet peribadi baharu untuk Najib yang dianggapnya satu pembaziran.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .