Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) beserta pembekal komunikasi Celcom, DiGi, Maxis dan U Mobile hari ini menjelaskan isu sekitar GST bagi perkhidmatan prabayar.
“Saya diberi taklimat oleh celcos mengenai perkara ini. Sejak dari mula, perkhidmatan komunikasi tidak termasuk dalam senarai barangan yang dikecualikan atau zero rated daripada GST, bermakna pengguna perlu membayar GST untuk perkhidmatan ini. Ini termasuk isian semula prabayar,” kata Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie .
Beliau menegaskan isian semula prabayar tertakluk kepada GST dan ini mematuhi Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 2014.
Menurutnya, nilai prabayar adalah sama dengan nilainya sebelum pelaksanaan GST; bezanya hanyalah GST ditambah kepada amaun prabayar.
Menurut keempat-empat pembekal perkhidmatan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bersetuju dengan cara pelaksanaan GST keatas isian semula prabayar seperti yang dibincangkan dalam mesyuarat yang berlangsung semalam di antara Jabatan Kastam dan wakil daripada keempat-empat pembekal perkhidmatan komunikasi.
Pun begitu, bagi meringan beban terhadap pengguna, sebagai langkah peralihan, para pengguna yang mengisi semula RM5.00 ke atas akan mendapat nilai tambahan yang melebihi GST 6% yakni dalam bentuk minit dan mesej teks percuma. Tempoh peralihan bermula 3 April 2015 selama tiga bulan.
Satu kajian akan juga dijalankan oleh pembekal perkhidmatan komunikasi bagi menilai sama ada pengguna cenderung kepada nilai isian semula yang lebih rendah dimana GST akan dikenakan.
Contohnya, isian semula RM10.00 boleh dijual pada harga RM10.60 (isian semula RM10 tambah GST 6%) atau RM10.00 (isian semula RM9.43 tambah GST 6%).
Sementara itu, pihak industri sedang bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta SKMM dalam membangunkan pakej jalur lebar yang lebih mampu dimiliki oleh rakyat. Pengumuman dijangka dibuat pada pertengahan bulan April.
sumber
No comments: