Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yakin kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan meningkat lebih tinggi pada masa akan datang daripada kadar sedia ada pada 6%.
Beliau yang juga setiausaha agung parti itu berkata, tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang memperkenalkan GST dan cukai itu kekal pada kadar awal ia diperkenalkan.
"GST ini dikira cukai yang mudah dan berkesan bagi kerajaan, kerana begitu senang mengutip cukai yang lebih, dengan hanya menaikkan kadarnya setiap tahun.
"Jadi, kadar 6% ini ditetapkan sebagai kadar paling minima untuk menutup hutang dan tuntutan perbelanjaan sekarang," katanya pada forum Siswa dan GST: Masak Sendiri Elak GST di Perpustakaan Komuniti MBPJ di Petaling Jaya malam tadi.
"Pada masa akan datang, hutang itu sudah tentu akan bertambah, dan perbelanjaan akan terus bertambah, dan kerajaan akan menaikkan cukai dengan kadar 6% kepada kadar yang akan lebih tinggi," katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu juga menjelaskan, jika dibuat perbandingan dengan negara yang terlebih dulu melaksanakannya seperti Singapura, ia memperkenalkan GST pada kadar awalnya 2% sejak 15 hingga 20 tahun yang lalu, dan kini ia meningkat kepada 7%.
"Jadi, (Malaysia) sudah bermula 6%, kalau meningkat dua kali ganda pun contohnya, dalam tempoh 10 tahun akan datang, ia akan jadi 12%. Jadi bagi saya, pasti akan naik cukai ini. Cuma bila masanya saja yang kita tak tahu," katanya.
Bagaimanapun, menjawab satu soalan, Rafizi berkata, beliau tidak fikir kenaikan itu akan berlaku bermula tahun depan kerana "Barisan Nasional (BN) sekarang berada dalam keadaan panas".
Beliau tidak menjangka ia akan berlaku pada masa terdekat kerana rakyat pada masa kini sedang marah dan terbeban ekoran pelaksanaan cukai tersebut, dan BN pula perlu bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
"Mungkin (akan meningkat) 2018. Tetapi ada risiko besarnya, maknanya kalau lepas BN menang, dia tak akan naik 6.5%, sebaliknya mungkin akan naik 9%, kerana ia mengambil kira tempoh 2 tahun yang tidak dinaikkan itu.
"Malah, saya rasa kalau ikut cara BN menaikkan harga atau tarif, selalunya tidak secara berperingkat, sebaliknya dilonjakkan terus.
"Contohnya, dulu harga minyak 2008, daripada RM1.30 terus jadi RM2.20, sebab dia kata sekali orang dah biasa dengan keadaan itu, orang akan terima, kalau selalu naik, orang akan marah," katanya yang yakin kadar tersebut akan meningkat selepas PRU14.
Beliau juga mengkritik kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang membandingkan negara yang sudah melaksanakan GST dengan Malaysia.
"Janganlah tengok orang lain buat, kita nak buat. Kena tengok kesesuaian. Kalau tengok orang Eskimo pakai baju tebal, takkan kita nak pakai di sini. Saya bantah GST kerana tidak bersesuaian," katanya.
Rafizi berkata, GST perlu dilaksanakan bergantung pada tahap spektrum ekonomi sesebuah negara itu sendiri dan cukai tersebut tidak wajar kerana ia membebankan semua lapisan masyarakat termasuk golongan berpendapatan rendah.
"GST ialah satu konsep cukai baru yang tak pernah ada di Malaysia sebelum ini. Dan, semua orang, (termasuk) orang susah pun, kena bayar.
"Mereka yang bergaji minima RM1,000, pelajar universiti, pun dikenakan juga. Itu tidak betul. Cukai ini lebih zalim dan membebankan untuk rakyat," katanya.
Forum anjuran Mahasiswa Keadilan Malaysia itu sepatutnya menampilkan Exco Pemuda Umno Ibdillah Ishak sebagai salah seorang ahli panel. Tetapi, beliau tidak dapat menghadirkan diri malam tadi.
Terdahulu semalam, PKR mendesak Putrajaya mengecualikan 4 kategori barangan kanak-kanak daripada GST iaitu kos konsultasi doktor, perubatan dan vitamin, barangan kebersihan, peralatan asas dan susu.
Pengarah strategi PKR Sim Tze Tzin berkata, Putrajaya tidak harus mengenakan cukai kepada orang sakit kerana tiada siapa yang mahu ditimpa penyakit.
Sebelum ini, Ahmad mencabar Pakatan Rakyat (PR) mengemukakan alternatif sekiranya mereka menolak pelaksanaan GST.
Katanya, GST merupakan satu sistem percukaian yang meringankan beban rakyat dan bukan seperti mana didakwa pembangkang dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) di Permatang Pauh dan juga Rompin.
Ahmad berkata sekiranya pelaksanaan GST itu ditolak, beliau ingin tahu apa alternatif yang boleh dikemukakan pembangkang dalam meringankan beban rakyat dan pada masa sama dapat memajukan negara.
No comments: