» » Pertubuhan Warisan Melayu minta kutukan terhadap Najib Razak diberhentikan serta-merta


Pertubuhan Warisan Melayu (PWM) Johor hari ini meminta semua pihak supaya menghentikan serangan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, dan kembali bersatu demi kepentingan agama serta bangsa.

Presidennya Datuk Abdul Rahman Yunos berkata menegur pemimpin dengan perbuatan menghentam bukan merupakan adab dan budaya Melayu, sebaliknya ia perlu dilakukan secara berhemah.

"Pertubuhan Warisan Melayu yang mengadakan mesyuarat agung hari ini memutuskan untuk mengemukakan resolusi bagi melindungi kepimpinan negara dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Najib Razak.

"Kalau hendak buat teguran, buatlah secara berhemah, berbudi pekerti dan beradab cara orang Melayu kerana Pertubuhan Warisan Melayu yakin pemimpin boleh menerima teguran tetapi bukan dengan cara dihentam kiri, kanan, depan dan belakang," katanya.

Abdul Rahman berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung PWM Johor oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Rahman meminta semua pihak yang terlibat dengan serangan terhadap Najib supaya kembali ke pangkal jalan bagi mengelak berlakunya persengketaan.

Beliau berkata semua pihak, khususnya orang Melayu, perlu belajar dari sejarah mengenai keruntuhan beberapa kerajaan di dunia, adalah berpunca akibat persengketaan antara satu sama lain.

"Adat Melayu juga tidak pernah menjatuhkan pemimpin sendiri biarpun barisan kepimpinan itu boleh ditukar atau diganti pada bila-bila masa.

"Namun, kini bukan masanya lagi untuk kita menukar kepimpinan negara kerana banyak perkara perlu dilalui dan diselesaikan terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, Ab Aziz yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata beliau menyambut baik resolusi tersebut yang mencerminkan kehendak orang Melayu untuk bersatu dan mengetepikan segala sengketa yang tidak menguntungkan negara.

Beliau berkata apa jua masalah yang melibatkan pentadbiran negara, perlunya satu pihak yang bertindak 'mengawasi dan mengimbangi tindakan' bagi memastikan semua perkara diurus dengan baik.

"Kita tidak mahu Wawasan 2020 terhenti sekerat jalan... kita ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan pelbagai pihak yang dapat memastikan wang negara diurus dengan baik," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .