» » Bila Dr Mahathir timbulkan persoalan berkaitan kes bunuh Altantuya


Apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan tentang misteri pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shariibuu, lebih banyak persoalan timbul.

Jika persoalan tentang pembunuhan berprofil tinggi ini datangnya daripada ahli politik pembangkang, tidaklah begitu menghairankan, tetapi apabila pemimpin berpengaruh seperti Dr Mahathir yang mempersoalkannya, ia merupakan perkara serius.

Mungkin bekas perdana menteri yang berpengaruh itu mempunyai maklumat yang tidak diketahui ramai pihak sebelum ini.

Menulis di blog popularnya www.chedet.cc minggu lalu, Dr Mahathir membela salah seorang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis, Sirul Azhar Umar dan mempersoalkan siapa memberi arahan kepadanya.

Bercakap pada sebuah forum di Cyberjaya semalam, secara terbuka Dr Mahathir menimbulkan lebih banyak persoalan tentang kes pembunuhan Altantuya yang berlaku pada 2006, dengan berkata Sirul tidak pernah membunuh sesiapa ketika berkhidmat sebagai pengawal peribadinya dahulu.

Rupa-rupanya Sirul pernah juga menjaga Dr Mahathir selain Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi timbalan perdana menteri.

Dr Mahathir juga berkata tidak adil menghukum gantung Sirul semata-mata kerana mengikut arahan.

“Dia sudah katakan ia bukan kehendaknya sendiri. Dia diarahkan untuk melakukannya, jadi soalan yang sepatutnya ditanya lama dahulu adalah, siapa yang mengarahnya?” kata Dr Mahathir semalam.

Tidak hairanlah mengapa Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat semalam mendesak polis membuka semula siasatan pembunuhan Altantuya selepas Dr Mahathir bercakap tentangnya.

Akan tetapi, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata kes pembunuhan Altantuya tidak perlu dibuka semula kerana mahkamah sudah pun menjatuhkan hukuman.

“Kes Altantuya kita sudah pun menjalankan siasatan, sudah pergi ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman. Tiada sebab kita hendak buka siasatan. Siasatan kita sudah lengkap,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Isu Altantuya dan 1MDB peluru yang bakal jatuhkan Najib

Apabila Dr Mahathir sudah bercakap secara terbuka mengenai kes pembunuhan Altantuya, ia bermakna bekas presiden Umno itu tidak akan menoleh ke belakang lagi.

Ertinya, sudah tidak boleh lagi rundingan dilakukan menyelamatkan hubungannya dengan Najib seperti dicadangkan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Dr Mahathir hanya akan berhenti mempersoalkan tentang kes pembunuhan Altantuya selepas Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Dr Mahathir juga akan terus menerus mempersoalkan tentang syarikat yang sarat dengan hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga Najib bersedia berundur.

Sejarah pernah menyaksikan bagaimana Dr Mahathir terlibat menjatuhkan dua perdana menteri, Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Kedua-dua perdana menteri ini berjaya dijatuhkannya tanpa mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan.

Kini, apabila sudah hampir berumur 90 tahun, mampukah Dr Mahathir menjatuhkan seorang lagi perdana menteri?

Yang menjadi persoalannya sekarang ialah, apa mekanisme yang boleh digunakan untuk menjatuhkan Najib?

Najib masih mempunyai sokongan kuat daripada Umno. Jemaah menteri juga masih belum menunjukkan tanda-tanda berani melawan Najib.

Apakah Dr Mahathir akan menggunakan usul undi tidak percaya di Parlimen untuk menjatuhkan Najib?



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .