Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu mendedahkan nama anggota polis yang didakwa bertemu Sirul Azhar Umar di Australia berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, kata Lim Kit Siang.
Ketua Parlimen DAP itu berkata ketua polis negara (KPN) itu perlu menyangkal kenyataan Sirul yang mendakwanya berbohong dalam isu itu.
Katanya, Khalid hanya menjawab dakwaan Sirul dengan mengatakan bekas anggota polis itu sebagai terdesak yang tidak membawa maksud Sirul berbohong.
"Malah, Khalid tidak menolak kenyataan Sirul yang mendakwanya berbohong atas dakwaaan anggota polis datang ke Australia.
"Mengapa Khalid membiarkan perkara itu terus menjadi tanda tanya sedangkan nama dan tarikh polis itu bertemu Sirul di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney boleh didedahkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sirul semalam mendakwa KPN berbohong apabila mengatakan anggota polis dihantar ke Australia bagi mengambil keterangannya, lapor Malaysiakini.
Katanya, tiada polis Malaysia yang datang bertemu dengannya sejak dia mula berada di Australia.
Bagaimanapun, Khalid semalam berkata beliau bercakap benar dan tiada sebab untuk mengelirukan orang ramai dan negara berhubung hal itu.
Katanya, Sirul terdesak berkata demikian bagi menyelamatkan dirinya.
"Dari apa yang kami kumpul setakat ini, dia tidak memberikan perkembangan baru yang boleh membebaskannya daripada jenayah itu," kata Khalid.
Lim berkata jika Khalid tidak memberikan butiran pertemuan berkenaan, maka orang ramai akan menyokong versi Sirul dalam kes itu.
Katanya, masyarakat termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kecurigaan mengenai integriti siasatan polis.
Beliau berkata Sirul mendapat simpati ramai selepas terdapat dakwaan bekas anggota polis itu bertindak mengikut arahan sementara "orang penting yang mempunyai motif" masih bebas.
"Siapa yang tidak akan menyebelahi Sirul apabila dia mendakwa bertindak mengikut arahan itu betul?" soal Lim.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu mencadangkan Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi datang ke Australia untuk bertemu Sirul.
"Mungkin Khalid boleh mengiringi 2 bekas perdana menteri itu ke Sydney untuk acara yang belum pernah berlaku itu, " katanya.
sumber
No comments: