» » 'Najib Razak tak boleh pisahkan diri dari 1MDB'


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak boleh mengelak daripada dikaitkan dengan syarikat yang dibebani hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal kewangannya, kata pemimpin DAP Tony Pua.

Beliau berkata, sekiranya dokumen dan komunikasi emel antara ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low seperti didedahkan Sarawak Report baru-baru ini adalah tulen, Putrajaya perlu memberikan jawapan terhadap dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam membawa dana keluar daripada syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu.

"Dalam keadaan itu, Najib sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB harus bertanggungjawab kerana 1MDB projek yang diilhamkannya sejak dari mula.

"Perdana menteri tidak boleh lepas tangan dengan mengatakan beliau tidak terlibat dalam operasi harian 1MDB," kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan Sarawak Report mendakwa sejumlah AS$700 juta (RM2.5 billion) pinjaman yang dibayar balik 1MDB kepada PetroSaudi International (PetroSaudi) pada 2009 disalurkan ke sebuah syarikat yang didakwa dikawal Low.

Memetik dokumen dan koresponden emel, Sarawak Report melaporkan, Low terlibat merancang keseluruhan usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi pada 2009.

Dalam respon kepada The Sunday Times, yang turut menyiarkan laporan berkenaan, Putrajaya berkata, Najib tidak terlibat secara langsung dalam operasi harian syarikat berkenaan, yang katanya "diuruskan satu kumpulan profesional dan berpengalaman".

"Daripada mengesahkan atau menafikan persoalan yang terkandung dalam dokumen dan emel yang dinyatakan, Najib nampaknya lebih kisah tentang menjarakkan dirinya daripada syarikat yang dipenuhi skandal itu," kata Pua.

Katanya, Putrajaya dalam responsnya kepada The Sunday Times, malah cuba memburukkan laporan penyampai maklumat itu dengan mengatakan "pandangan diberikan pihak tertentu mengenai 1MDB perlu dilihat dari sudut motif politik".

"Perdana menteri yang juga menteri kewangan perlu sedar sama ada terdapat 'motif politik' atau sebaliknya, tidak relevan dengan perkara ini.

"Sebagai contoh saya sudah tentu akan mendedahkan segala aktiviti korup kerajaan untuk menyingkirkan mereka dalam pilihan raya akan datang. Apa yang lebih penting sama ada dokumen atau emel itu asli atau tidak,” katanya.

Pua berkata, walaupun jika Najib tidak memainkan peranan utama dalam 1MDB, beliau tetap bersalah kerana "cuai dan tidak cekap" dalam menguruskan 1MDB yang terletak di bawah seliaan kementeriannya.

Najib bersalah kerana beliau dan anggota Kabinet terus menerus mempertahankan 1MDB walaupun pelbagai keraguan dibangkitkan media dan pembangkang, kata Pua.

"Mereka tanpa malu dengan bangga berkata 1MDB dalam keadaan kewangan yang baik, disokong aset yang berkualiti dan dikendalikan pasukan yang profesional dan berpengalaman.

"Semua itu dikatakan sambil kita berdaean dengan fakta sekarang - 1MDB tidak mampu membayar hutang RM2 bilion tanpa mengemis daripada hartawan tempatan T Ananda Krishnan, 1MDB terpaksa mohon dana 'bailout' waktu kecemasan RM3 bilion daripada Kabinet dan 1MDB tidak dapat buktikan ia memiliki wang tunai AS$1.1 bilion (RM3.9 bilion) diletakkan di tempat yang tidak diketahui di luar negara selepas mengeluarkan pelaburan di Cayman.

"Bagaimana perdana menteri membenarkan 1MDB berhutang sehingga kini mencecah RM42 bilion dalam keadaan ia boleh dikatakan hampir jatuh muflis,” katanya.

Katanya, DAP juga menyokong penuh gesaan veteran parti itu, Lim Kit Siang supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk terhadap skandal RM42 bilion itu.

Pua berkata, ini akan membolehkan rakyat Malaysia melihat kebenaran dan segala penipuan akan dihukum.

PetroSaudi semalam menafikan laporan Sarawak Report dan The Sunday Times itu dan berkata, anak syarikatnya menerima keseluruhan dana syarikat usaha sama itu sambil 1MDB juga mengesahkan mereka menerima balik pelaburan mereka.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .