» » 'Najib Razak tak terlibat urusan 1MDB'


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak terlibat dalam operasi harian 1Malaysia Development Bhd (1MDB), syarikat yang sarat dengan hutang, lapor akhbar Britain The Sunday Times hari ini memetik kenyataan dari kerajaan Malaysia.

Akhbar itu, yang bekerjasama dengan laman web Sarawak Report mendedahkan peranan ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, yang didakwa melarikan AS$700 juta dari 1MDB, dimaklumkan oleh kerajaan Malaysia yang 1MDB diuruskan secara profesional dan akaunnya diaudit juruaudit antarabangsa.

"Kerajaan Malaysia berkata, perdana menteri tidak terlibat dalam operasi harian 1MDB, yang dikendalikan satu pasukan profesional dan berpengalaman. Akaunnya diaudit oleh Deloitte," lapor The Sunday Times dalam satu artikel bertarikh 1 Mac.

Najib, yang juga menteri kewangan, ialah pengerusi lembaga penasihat 1MDB. Dana pelaburan negara itu, yang ditubuhkan hasil ilhamnya, juga dimiliki Kementerian Kewangan.

Artikel yang bertajuk "Harrow playboy linked to troubled Malaysian fund" (Playboy Harrow dikaitkan dengan dana Malaysia bermasalah) diambil dan diterbitkan di laman web Sarawak Report.

Ia menyiarkan petikan kenyataan berikut dari Putrajaya: “Pandangan dikemukakan oleh sesetengah pihak berhubung 1MDB perlu dilihat dari sudut motif politik. Bagaimanapun, sekiranya terbukti wujud sebarang salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian."

The Sunday Times juga melaporkan sumber yang "rapat dengan Low" menafikan dakwaan yang Low bertindak sebagai broker kepada 1MDB, mengatakan "beliau tidak mendapat sebarang keuntungan peribadi dari dana itu" walaupun beliau menyumbangkan buah fikirannya kepada syarikat itu.

"Firma itu berunding dengan Low berkenaan projek itu tetapi beliau tidak dibayar," lapor The Sunday Times, merujuk usaha sama 1MDB dengan syarikat minyak yang tidak begitu dikenali, PetroSaudi International.

Melalui usaha sama ini, The Sunday Times dan Sarawak Report berkata, Low didakwa melarikan AS$700 juta daripada 1MDB menggunakan PetroSaudi sebagai 'topeng' untuk berurusan dengan dana milik kerajaan itu .

Wang AS$700 juta itu merupakan pinjaman yang akan dibayar balik oleh 1MDB kepada syarikat induk PetroSaudi itu, sebagai sebahagian daripada perjanjian usaha sama.

Tetapi, wang itu dipindahkan ke akaun milik Good Star Limited, yang dikawal oleh Low, menurut Sarawak Report dalam satu laporan di laman webnya yang turut melampirkan dokuman dan e-mel sebagai bukti dakwaannya.

The Sunday Times juga menemu bual bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan satu penyiasatan harus dilakukan ke atas 1MDB.

"Satu tindakan yang bodoh apabila seseorang sanggup berpisah dengan wang AS$700 juta tanpa sebab yang kukuh, pada pandangan saya," beliau dipetik sebagai berkata.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .