» » 'Tubuhkan suruhanjaya diraja siasat skandal 1MDB'


Mesyuarat kabinet minggu ini mesti menjadikan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) agenda mutlaknya dan memutuskan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu dibentuk mengenai firma yang bermasalah itu, susulan pendedahan yang syarikat milik ahli perniagaan Low Taek Jho didakwa melarikan AS$700 juta darinya, kata DAP.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan skandal sekitar dana pelaburan strategik negara yang dibebani hutang itu boleh membawa kepada penyingkirannya.

"Najib tidak boleh terus mengelak isu itu dan saya menyeru beliau menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi skandal RM42 bilion 1MDB ini, khususnya berhubung pendedahan Sarawak Report yang ia memperoleh akses kepada beribu-ribu dokumen dan e-mel yang berkaitan dengan transaksi 1MDB.

"Sekiranya skandal RM42 bilion 1MDB itu tidak ditangani dengan cara yang bertanggungjawab dan memuaskan, kita mungkin menyaksikan buat pertama kalinya di Malaysia seorang perdana menteri meletak jawatan atau disingkirkan akibat satu skandal kewangan," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim merujuk laporan berbentuk penyiasatan oleh laman web pemberi maklumat Sarawak Report hari ini, yang mendedahkan mengenai usaha sama 1MDB dengan sebuah syarikat minyak yang tidak diketahui ramai, PetroSaudi International pada 2009.

Usaha sama itu mengakibatkan 1MDB dikatakan terpaksa membayar balik pinjaman sebanyak AS$700 juta kepada PetroSaudi sebagai sebahagian daripada perjanjian.

Tetapi, Sarawak Report yang bekerjasama dalam pendedahan itu dengan akhbar Britain The Sunday Times, berkata yang pinjaman itu disalurkan kepada pihak ketiga, iaitu Good Star Limited, sebuah syarikat yang dikawal oleh Low.

Ia juga menerbitkan e-mel dan dokumen berserta laporan itu bagi menyokong dakwaan mereka .

"Jika benar pasukan siasatan gabungan Sarawak Report dan Sunday Times London itu beroleh akses kepada 'beribu-ribu dokumen dan e-mel' yang berkaitan dengan transaksi oleh 1MDB itu, maka kita sedang menyaksikan satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara ini," kata Lim.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, 1MDB kini diketahui menanggung hutang sebanyak RM42 bilion, membuatkan ia skandal kewangan paling hebat di negara ini, melebihi skandal kewangan yang paling teruk dan paling besar ketika zaman bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir juga salah seorang pengkritik tegar 1MDB, mempersoalkan keperluan menubuhkan syarikat itu dan sama ada ia benar-benar bertujuan menjana kekayaan untuk negara.

1MDB diilhamkan Najib, yang juga pengerusi lembaga penasihatnya.

Lim menggesa kabinet yang bermesyuarat setiap Rabu, menjalankan "audit penuh dan wajar" ke atas dana itu.

"Semua menteri juga tidak boleh terus mendakwa tidak tahu atau tidak mengambil tanggungjawab dalam skandal 1MDB ini," katanya .

sumber



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .