Kedai runcit lama di tepi simpang Jalan CY Choy dan Lebuh Presgrave di George Town, Pulau Pinang, terpaksa gulung tikar tidak lama lagi kerana tidak mampu berdepan cabaran pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Lim Eng Kooi, 77, berkata, beliau terpaksa menutup perniagaannnya kerana tidak pasti sama ada mampu menguruskan kedai apabila GST dilaksanakan April ini.
"Saya sedar perniagaan tidak selamanya kekal. Tak lama lagi umur mencecah 78 tahun. Kos berniaga di bandar juga semakin meningkat.
"Sewa naik. Setiap bulan terpaksa bayar sewa RM1,000.
"Peluang saya berakhir dengan GST. Ada banyak perkara lain yang perlu difikirkan dan pada umur sebegini, saya tak mahu sebarang masalah," katanya.
Kedai runcit Lim, yang menjual pelbagai makanan dalam tin, minuman, makanan ringan dan peralatan sembahyang menjalankan perniagaan sejak 60 tahun lalu bermula daripada bapanya.
Lim mahu menjual semua barangnya sehingga hujung bulan ini sebelum bersara daripada dunia perniagaan.
Dua hari sebelum itu, pemilik kedai runcit di Air Itam juga mahu menutup perniagaannya.
Moey Kok Meng, 68, berkata beliau terpaksa berbuat demikian kerana tidak faham sepenuhnya cukai baru itu dan sistem yang mampu menjejaskan perniagaannya.
Katanya, beliau tidak tahu cara menggunakan komputer dan berniaga mengikut cara lama. Malah beliau mengira stok menggunakan tangan.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, amat memalukan perniagaan lama yang selama ini terpaksa bergelut akhirnya terpaksa ditutup kerana GST.
Katanya, perniagaan seperti menjual barangan besi, ubat tradisional dan kedai runcit menerima tekanan disebabkan cukai itu.
"Mereka ini menjalankan perniagaan secara tradisi. Bukan mereka tidak boleh tahan dengan kesusahan, mereka selama ini mampu hidup.
"Tetapi masalah ini datang daripada GST dan mereka rasa susah untuk mengendalikannya," katanya.
Guan Eng berkata, tidak dapat dipastikan jumlah perniagaan di Pulau Pinang yang menerima nasib sama seperti Lim dan Moey.
Katanya, data mungkin diperoleh kerajaan negeri selepas GST dilaksanakan.
"Kadangkala, cukai lebih ganas daripada harimau," katanya memetik ungkapan pepatah Cina.
"Kita lihat contoh GST menjejaskan ekonomi dan membunuh peniaga kecil.
"Adakah kerajaan persekutuan akan mendengar rintihan rakyat dan menangguhkan cukai itu, atau hanya mendengar duit dalam poket mereka," soalnya.
No comments: