» » 'SPAD tak bincang dengan kerajaan untuk naikkan tambang 20%-67%'


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) digesa supaya mengkaji semula kenaikan harga tambang pengangkutan awam memandangkan kenaikan sebanyak 20% hingga 67% itu adalah terlalu tinggi, kata Datuk Aziz Kaprawi.

Timbalan menteri pengangkutan itu berkata, SPAD sepatutnya mengadakan perbincangan bersama dengan Kementerian Pengangkutan, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi mendapat satu keputusan yang terbaik.

"Kenaikan harga tambang yang diumumkan oleh SPAD, perlu mendapat pandangan dari semua pihak, bagi memastikan ia tidak membebankan pengguna.

"Saya memandang serius perkara ini, dan berharap ia dikaji semula memandangkan kenaikan sebanyak 20% hingga 67% itu adalah tinggi," katanya hari ini.

Aziz berkata, SPAD tidak seharusnya membebankan rakyat yang menggunakan pengangkutan awam dalam urusan harian mereka.

Katanya, ini akan meningkatkan kos perbelanjaan rakyat jika keputusan ini diteruskan.

Walaupun memahami masalah yang dihadapi pengangkutan awam dan pemilik teksi, katanya kerajaan perlu mengkaji dan menyemak semula kenaikan tersebut.

"Perlu ada garis panduan dalam menentukan paras tambang yang berpatutan agar mampu dibayar oleh semua golongan masyarakat."

SPAD semalam mengumumkan penetapan kadar tambang baharu bagi teksi dan kereta sewa berkuat kuasa serta merta, manakala bas ekspres mulai 15 Mei.

Tambang teksi dan kereta sewa naik antara 20% hingga 67%, manakala tambang bas ekspres akan naik 22.6%.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kadar baru itu kerana berlakunya kenaikan kos termasuk penyelenggaraan dan insurans, selepas kali terakhir kenaikan pada tahun 2009.

SPAD juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menaikkan tambang perkhidmatan kereta api KTM Komuter, KTM Intercity, ETS, LRT dan Monorail yang akan diumumkan pada satu tarikh lain.

Manakala KTM Berhad semalam turut mengumumkan kadar tambang baru bagi perkhidmatan KTM Komuter dengan peningkatan sehingga RM7.10, berkuat kuasa 1 Mei.

KTM dalam kenyataan berkata, perbezaan kadar tambang sehala yang baru berbanding tambang sedia ada adalah bergantung kepada jarak perjalanan daripada satu stesen ke stesen yang lain.

Kali terakhir KTM melaksanakan pelarasan tambang ialah pada Februari 2003.

Pengumuman itu mengundang kemarahan rakyat di media sosial, apabila berasa terbeban dengan kenaikan kos sara hidup, tambahan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan pada April ini.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .