Kos operasi penjagaan kesihatan swasta dijangka meningkat daripada 2 hingga 4% selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April berikutan bekalan yang bercampur, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Holdings Bhd, Ahmad Shahizam Mohd Shariff.
Beliau berkata, tidak semua bekalan untuk hospital swasta dikecualikan GST kerana barangan tertentu yang diperoleh daripada kontraktor adalah di bawah kategori penarafan standard yang tertakluk kepada cukai 6%.
"Akan terdapat kos tambahan kerana sebahagian besar tidak boleh dilepaskan kepada pesakit.
"Sebagai pengendali hospital, kebanyakan aktiviti dicajkan kepada pesakit adalah dikecualikan cukai, yang bermakna tidak ada tuntutan balik dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
"Bagaimanapun, kenaikan 2 hingga 4% dalam kos bukanlah isu besar kerana ia agak terkawal," katanya kepada pemberita di majlis taklimat mengenai Dana Penjagaan Kesihatan Khazanah-IHH.
Selain isu GST, Ahmad Shahizam berkata, berikutan perjumpaan di antara Persatuan Hospital Swasta Malaysia dan JKDM pagi ini, yuran perundingan bebas swasta diperjelaskan untuk berada di bawah bekalan penarafan standard dan tertakluk kepada cukai 6%.
Ini isu hangat di kalangan mereka di hospital swasta sebelum ini mengenai kejelasan yuran dikenakan perunding bebas swasta yang menawarkan perkhidmatan di hospital swasta, katanya.
Walaupun kebanyakan bil di hospital swasta dikecualikan GST, komponen berkaitan yuran perundingan akan tertakluk kepada cukai enam peratus yang akan dikenakan kepada pesakit," tambahnya.
Mengenai Dana Penjagaan Kesihatan Khazanah-IHH, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Bhd, Dr Tan See Leng berkata, dana itu ditubuhkan dengan pembiayaan RM50 juta daripada Khazanah Nasional Bhd, yang dikumpulkan daripada keuntungan pelaburan dalam IHH Healthcare.
Sejak ditubuhkan 2 tahun lepas, sejumlah RM20 juta diguna untuk membantu lebih 3,100 pesakit kurang berkemampuan dan layak di pasaran kumpulan itu di Malaysia, Singapura dan Turki sama ada ditaja sebahagian atau sepenuhnya.
Dr Tan berkata, dana itu akan mengeluarkan RM10 juta setahun, selama 5 tahun melalui program dianjurkan anak syarikat IHH Healthcare, di mana 70% daripada jumlah itu diperuntukkan untuk Malaysia dan bakinya dibahagikan di antara Singapura dan Turki.
Dana itu diumumkan pada Julai 2012 pada pelancaran tawaran awam awal IHH Healthcare dan pengeluaran wang itu bermula pada 2013 selepas rangka kerja diwujudkan untuk mengenal pasti dan memadankan pesakit yang layak secara sistematik.
No comments: