Hudud akan menyebabkan kekeliruan dan ketidakadilan kepada rakyat walaupun ahli Parlimen bersetuju dengan pindaan melaksanakan undang-undang syariah di Kelantan, kata Tan Sri Abu Talib Othman.
Bekas peguam negara itu berkata Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan agama di mana sebuah lagi sistem keadilan jenayah yang selari tidak praktikal.
“Saya berharap ahli Parlimen melihat isu ini dalam perspektif yang betul dan tidak tertipu dengan politik,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau mengulas Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (2015) yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Khamis.
Semua 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebulat suara bersetuju pindaan kepada enakmen itu ekoran PAS memiliki dua pertiga wakil dalam DUN Kelantan, selain Sultan Kelantan Sultan Muhammad V turut menyatakan sokongan kepada pelaksanaan hukuman hudud di negeri itu.
Adun Kelantan yang terdiri daripada 31 dari PAS, 12 dari Umno dan seorang lagi dari PKR hanya mengambil masa dua hari membahaskan pindaan enakmen itu, selepas Adun Umno memberi peluang kepada kerajaan negeri melaksanakan hudud.
Kerajaan Kelantan mendakwa hudud tidak terpakai kepada bukan Islam dan sedang menyiapkan rang undang-undang persendirian meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang juga dikenali sebagai Akta 355 bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.
Talib yang merupakan peguam negara dari 1980 hingga 1993, berkata orang Islam dan bukan Islam tidak boleh dipisahkan dalam hal keadilan.
“Realitinya ialah pelaksanaan hudud di Kelantan akan menyebabkan kekeliruan dan ketidakadilan kepada banyak pihak,” katanya.
Talib mempersoalkan apa yang akan terjadi sekiranya jenayah dilakukan bersama oleh orang Islam dan bukan Islam dan saksinya ialah bukan Islam.
Beliau berkata orang Islam yang dihadapkan ke mahkamah syariah mungkin dapat melepaskan diri ekoran saksi yang bukan Islam itu tidak dapat memberi keterangan di Mahkamah Syariah.
Katanya, orang bukan Islam boleh didakwa dan ditahan melakukan jenayah di mahkamah sivil, dan mereka boleh memberi keterangan di sana.
Talib berkata pendakwa raya sebelum ini berdepan dengan pelbagai senario iaitu dari mangsa, tertuduh dan saksi yang terdiri daripada Islam atau bukan Islam.
“Semua ini perlu dipertimbangkan secara berhati-hati sebelum melaksanakan hudud yang diluluskan di DUN Kelantan.
Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan dirangka menjadi undang-undang tertinggi negara bagi menjamin keadilan dan kesaksamaan.
“Ini dapat dilihat dalam Perkara 8 yang menjamin kesaksamaan dan perlindungan yang sama dalam undang-undang,” katanya.
Talib berkata walaupun Islam merupakan agama persekutuan seperti dinyatakan Perkara 3(1), ia mempunyai batasan.
"Perkara 3(4) menyatakan tiada apa yang terkandung dalam perkara itu mengurangkan kandungan lain dalam Perlembagaan," katanya.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah menghantar notis ke Parlimen membentangkan rang undang-undang persendirian meminda Akta 355 bagi membolehkan Kelantan melaksanakan hukuman hudud.
Akta itu yang kini hanya mengehadkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman maksimum RM3,000, lima tahun penjara dan enam sebatan rotan akan dipinda bersesuaian dengan undang-undang syariah.
Hasrat PAS melaksanakan hudud di Kelantan mendapat kecaman hebat PKR dan DAP kerana tidak melalui kesepakatan Pakatan Rakyat (PR).
DAP akan bermesyuarat hari ini bagi mengkaji semula hubungan mereka dalam PR selepas mendakwa ditikam dari belakang oleh PAS, apabila kerajaan Kelantan membentang dan meluluskan enakmen jenayah syariah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih belum mengumumkan pendirian rasmi Barisan Nasional dan satu pengumuman dijangka dibuat selewat lewatnya esok.
sumber
No comments: