» » Cabar BN bubar jika tiada pendirian rasmi berhubung hudud


PKR hari ini mencabar komponen Barisan Nasional (BN) membubarkan parti mereka sekiranya masih gagal mendapatkan satu pendirian rasmi daripada pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak atau timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung hudud.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, tindakan membubarkan parti dianggap lebih bermaruah daripada membiarkan mereka terus dipermainkan sandiwara Umno.

"Sebab itu saya cabar presiden parti-parti komponen BN yang menyatakan bangkangan kepada rang undang-undang persendirian itu untuk mendapatkan pendirian Najib dan timbalan beliau Muhyiddin dalam bentuk bertulis secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naib presiden PKR itu berkata, sekiranya komponen BN masih gagal mendapatkan pendirian perdana menteri atau timbalannya hingga Selasa ini, ia membuktikan mereka sedang dibuli dan diperlekeh Umno mengenai hudud.

"Jelas, parti-parti mereka tidak bernilai jika dibandingkan dengan kerjasama di antara Umno dan PAS dalam perkara ini," katanya.

Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata BN akan mengumumkan pendirian parti itu berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan selewat-lewatnya Selasa ini.

"Pengumuman itu akan dibuat Najib selewat-lewatnya esok atau lusa. Seperti diketahui, hudud mesti mengikut Perlembagaan negara.

"Saya tidak kata yang kami menentang hudud. Hukum tetap hukum. Sebagai orang Islam, hukum Allah merupakan hukum. Pihak yang memainkan (isu) ini ialah DAP dan PKR," katanya di Kuala Lumpur ketika diminta mengulas pendirian BN terhadap isu itu.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, sehingga kini, baik Najib mahu pun Muhyiddin belum menyatakan pendirian mengenai bukan sahaja hudud Kelantan, bahkan tiada ketetapan untuk rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan di Parlimen itu.

"Dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Najib minggu lalu, laporan mengenai keputusan mesyuarat itu berbeza-beza mengikut sumbernya.

"Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan berkata Najib menentang rang undang-undang persendirian yang bakal dibawa presiden PAS itu tidak lama lagi.

"Malah, Liow juga berkata, Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu secepat mungkin," katanya.

Rafizi berkata, sandiwara Umno berterusan melalui media di bawah kawalannya yang menyokong penuh pelaksanaan hudud.

"Pada hari yang sama, saya dimaklumkan, akhbar Sin Chew Daily memuatkan laporan di muka depan bagaimana Najib menolak pelaksanaan hudud.

"Pendirian Umno berubah-ubah mengikut pengundi sasaran mereka. Ini adalah rentetan sandiwara demi sandiwara Umno untuk memecahkan PR menggunakan isu hudud," katanya.

Beliau berkata, hakikatnya, rang undang-undang persendirian hudud hanya boleh dibentang di Parlimen dengan persetujuan Najib.

"Malah, dengan semua parti selain Umno di Parlimen menyatakan pendirian masing-masing mengenai rang undang-undang persendirian tersebut, jika ia dibenarkan dibawa, ia hanya akan lulus jika semua 88 ahli Parlimen Umno mengundi menyokongnya," katanya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .