» » Audit terhadap 1MDB sudah bermula


Jabatan Audit Negara sudah memulakan siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa menanggung beban hutang besar, kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang hari ini, seminggu selepas Kabinet mengarahkan syarikat itu disiasat.

"Bagaimanapun, tidak ada jangka masa ditetapkan bila audit itu akan selesai dijalankan," katanya kepada media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, proses mengumpulkan maklumat sedang berjalan dan akan memanggil pihak yang terlibat dalam syarikat berkenaan.

"Kami berharap mereka yang berkaitan dalam siasatan akan memberi kerjasama sepenuhnya yang diperlukan.

"Audit ini akan dijalankan secara telus dan profesional," katanya.

Ambrin juga memberitahu sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy membincangkan mengenai siasatan itu.

Ditanya sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB, akan dipanggil, Ambrin berkata pihaknya akan melakukan demikian jika ada keperluan membantu siasatan ke atas 1MDB itu.

"Kami akan panggil (Najib) jika ada keperluan," kata Ambrin.

Penubuhan 1MDB, yang merupakan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, diilhamkan sendiri Najib.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata siasatan ke atas 1MDB hanya akan berjalan selepas siap laporan audit dan selesai sesi pendengaran dijalankan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

1MDB menerima kritikan hebat berpunca daripada beberapa pelaburan kontroversi yang dijalankan mereka, di samping menanggung hutang sebanyak RM42 bilion.

Minggu lalu, laman web pemberi maklumat Sarawak Report mendedahkan mereka memiliki akses kepada ribuan dokumen dan e-mel yang berkaitan dengan transaksi kontroversi 1MDB, termasuk perjanjian meragukan dengan sebuah syarikat minyak yang tidak diketahui ramai, PetroSaudi International pada 2009.

Turut menjadi persoalan dalam kes 1MDB, peranan dimainkan usahawan terkenal Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, yang dikatakan mempunyai kepentingan dalam beberapa pelaburan yang dijalankan 1MDB.

Pembangkang dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad antara yang lantang mengkritik dan meminta ketelusan daripada dana pelaburan negara itu.

Susulan tekanan dan kritikan itu, Najib mengarahkan ketua audit negara membuat pemeriksaan ke atas akaun 1MDB atas alasan bagi menjelaskan kekeliruan melibatkan aktiviti pelaburan mereka.

Satu mesyuarat antara Najib dan kira-kira 160 ketua bahagian Umno diadakan Ahad lalu, juga bertujuan menunjukkan sokongan mereka kepada presiden Umno tersebut yang kini perlu menangkis kontroversi melibatkan 1MDB.

Minggu lepas, Reuters memetik sumber sebagai berkata, 1MDB mungkin dibubarkan di bawah pelan pembayaran balik hutangnya, di mana sebahagian asetnya akan dijual.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .