» » 'M'sia tak perlu GST jika pembaziran dan rasuah yang bernilai RM40 bilion setahun dihapuskan'


Putrajaya tidak akan memerlukan pendapatan tambahan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya ia menghapuskan pembaziran dan rasuah yang membuatkan kerajaan menanggung kerugian sehingga RM40 bilion setahun, kata satu kumpulan anti rasuah.

Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) itu berkata pelbagai kajian menganggarkan kerajaan kerugian antara RM23 bilion dan RM40 bilion setahun kerana ketirisan dan salah urus yang dibentangkan dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara.

Sebagai perbandingan, Putrajaya dijangka mengutip RM23.2 bilion tahun ini daripada GST. Tetapi ia hanya akan mendapat RM690 juta dalam pendapatan bersih daripada cukai yang menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) itu, menurut ucapan bajet perdana menteri 2015.

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan hanya akan mendapat RM690 juta pendapatan bersih daripada GST selepas menolak RM13.8 bilion yang hilang daripada menggantikan SST dan RM3.8 bilion daripada barangan dikecualikan GST.

Daripada baki RM5.6 bilion, RM4.9 bilion akan dibelanjakan untuk program bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), meninggalkan kerajaan dengan hanya RM690 juta.

Pengasas bersama C4 Cynthia Gabriel berkata, jika kerajaan boleh mengurangkan satu pertiga daripada jumlah wang yang hilang melalui ketirisan, ia tidak perlu mengenakan GST.

"Daripada membaiki kelemahan fiskal dan salah urus dalam dana awam, kerajaan memindahkan beban ini kepada pengguna dengan mengenakan cukai baru atas mereka.

"GST tidak sesuai dalam konteks Malaysia kerana ia tidak akan menyelesaikan gejala sosio-ekonomi kita," Gabriel berkata pada satu sidang akhbar mengulas pengumuman Putrajaya yang GST tetap akan dilaksanakan mulai 1 April.

Dalam ucapan bajet 2015 beliau, Najib berkata beberapa barangan seperti makanan segar, perkhidmatan pengangkutan awam, 300kw pertama elektrik, lebih 2,000 jenama perubatan dan pendidikan akan dikecualikan daripada GST.

Dengan pelaksanaan GST ini juga, kerajaan akan mengurangkan cukai pendapatan individu sebanyak 1% hingga 3%, kata Najib.

Seorang lagi pengarah C4 Richard Yeoh berkata kumpulan itu tidak menentang GST tetapi berpendapat cukai itu tidak adil kepada pengguna jika kerajaan tidak meningkatkan pengurusan dana awamnya.

"Mereka boleh memperkenalkan GST secara lebih beransur-ansur. Tetapi, pada ketika ini, defisit bajet kita tinggi dan ini merupakan tahun ekonomi yang buruk, dengan harga barangan yang meningkat.

"Daripada menambah satu lagi beban atas pembayar cukai, mereka perlu menangguhkannya," kata Yeoh.

Gabriel berkata tidak seperti negara lain di rantau ini yang melaksanakan GST seperti Singapura pada 1994 dan Thailand pada 1992, Malaysia mahu melakukannya ketika Putrajaya mencatatkan defisit bajet beberapa tahun berturut-turut.

"Sebagai perbandingan, Singapura dan Thailand mencatatkan lebihan belanjawan beberapa tahun sebelum ia memperkenalkan cukai yang sama dengan GST," katanya sambil menambah C4 melakukan kajian lengkap dan kertas kerja mengenai isu itu.

Gabriel berkata Putrajaya mesti menubuhkan pengawal pengawasan fiskal dan memperbaharui beberapa undang-undang untuk meyakinkan orang ramai hasil daripada GST akan dibelanjakan dengan bertanggungjawab.

Ia membuat beberapa cadangan termasuk menubuhkan sebuah badan yang harus menjadi pelengkap kepada ketua audit negara dan dalam masa sama menjejaki bagaimana bajet kerajaan dibelanjakan sepanjang tahun.

"Ketua audit negara buat masa ini malangnya hanya boleh mengesan dana awam selepas semua wang dibelanjakan. Kita perlu satu lagi badan yang menjejaki bagaimana bajet tahunan itu dilaksanakan.

"Ini dilakukan di Kanada dan United Kingdom," kata Gabriel.

Cadangan lain ialah menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan peguam negara lebih bebas dan memperkenalkan Akta Pencegah Pembaziran.

"Undang-undang baru itu akan menjadikan satu jenayah individu yang melibatkan diri dalam aktiviti yang menggalakkan pembaziran wang kerajaan. Kita juga perlu menjadikan satu jenayah kesalahan salah guna kuasa dan dana awam," kata Gabriel.

Dalam perkembangan berkaitan, C4 juga menyeru skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dikaji semula kerana ia bukan satu kaedah optimum pengagihan semula kekayaan negara.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .