» » Rafizi cabar Najib Razak isytihar harta


Selepas bertindak mengisytiharkan harta sepertimana didesak pemimpin Umno, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli kini mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan perkara sama.

Beliau yang mengakui memiliki harta dan simpanan melebihi nilai hutangnya, menyarankan presiden Umno itu menggunakan kaedah sama bagi membersihkan namanya yang dikaitkan dengan kemewahan tidak berpadanan dengan gaji.

"Jika benar beliau mewarisi harta yang banyak daripada allahyarham Tun Abdul Razak seperti kenyataan Pejabat Perdana Menteri, maka beliau perlu memperincikan setiap harta warisan itu sepertimana saya memperincikan harta saya.

"Saya yakin langkah mengisytiharkan harta sebegini disokong sepenuhnya rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu beliau turut mendedahkan akuan berkanun pengisytiharan harta yang dilakukannya hari ini dengan memperincikan segala harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaannya sebagai ahli Parlimen.

"Saya juga memberikan latar belakang pendapatan dan kedudukan harta saya sebelum saya menjadi ahli politik dan wakil rakyat," kata Rafizi.

Dalam akuan itu, ahli Parlimen Pandan itu menyatakan tidak menerima sebarang imbuhan selain gaji dan elaun tetap sebagai seorang ahli Parlimen.

Selain gaji dan elaun biasa sebagai ahli Parlimen, katanya beliau memperolehi pendapatan sekitar RM4,000 sebulan dan mendapat keuntungan daripada simpanan di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji.

"Perbelanjaan bulanan saya ditampung keuntungan simpanan ASB, Tabung Haji dan imbuhan tugas sebagai perunding yang dilakukan," katanya seperti dicatatkan dalam akuan bersumpah itu.

Naib presiden PKR itu juga mengakui menggunakan wang simpanan tetap bagi menampung perbelanjaan harian.

"Saya mempunyai simpanan tetap sebanyak RM212,000 di ASB (belum dikemaskini hingga 2014), RM464,372 di Tabung Haji dan RM644,907.47 di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Daripada jumlah harta dan hutang, kedudukan harta saya melebihi hutang sebanyak RM1.564 juta," katanya.

Sehubungan itu, beliau percaya tindakan yang sama juga boleh dilakukan setiap menteri termasuk perdana menteri.

"Saya percaya jika saya yang tidak mempunyai apa-apa jawatan kerajaan dan tidak mempunyai kuasa boleh mengisytiharkan harta, menjadi tanggungjawab moral dan amanah bagi setiap menteri dalam jemaah menteri hingga ke perdana menteri untuk turut mengisytiharkan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .