» » '1MDB bersih dan tiada sebarang salah laku'


DAP mengkritik Datuk Seri Najib Razak berikutan keputusan Kabinet mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersih daripada sebarang salah laku walaupun pada masa sama mengarahkan ketua audit negara menjalankan siasatan penuh terhadap dana yang dibebani hutang itu.

Setiausa Publisiti Kebangsaannya Tony Pua berkata, pengkritik 1MDB puas hati perdana menteri akhirnya mengarahkan Jabatan Audit Negara menjalankan siasatan ke atas dana kekayaan negara yang kontroversi itu selepas beberapa bulan menerima tekanan daripada mereka.

"Malangnya, ia mengambil pendedahan mengejutkan dibuat Sarawak Report, dilengkapi dokumen dan emel membuktikan wujud unsur penipuan dalam urus niaga yang dijalankan pada 2009, bagi Kabinet bertindak.

"Bagaimanapun, pada masa sama kita terkejut perdana menteri dalam nafas sama mendakwa 1MDB bersih daripada sebarang salah laku,” katanya dalam satu kenyataan.

Najib semalam mengarahkan peguam negara menyemak akaun 1MDB yang dibebani hutang selepas jemaah menteri diberi taklimat mengenai akaun syarikat milik kerajaan itu dan diberitahu tuduhan terhadapnya ialah berkaitan urus niaga dengan pihak ketiga seperti PetroSaudi International.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan sama, Najib juga berkata selepas taklimat 1MDB dan juruauditnya Deloitte, Kabinet melahirkan keyakinan tiada kesalahan dilakukan 1MDB serta keinginannya supaya syarikat itu dibenarkan melaksanakan hasil kajian semula strateginya.

Dalam kenyataannya, Pua menyelar perdana menteri dan Kabinetnya yang menganggap rakyat Malaysia akan terpengaruh dengan penjelasan dana pelaburan milik negara itu tidak terlibat dengan salah laku walaupun dengan hutang bertimbun.

"Kabinet yang berkualiti rendah itu semestinya berfikir rakyat Malaysia sangat bodoh, bagaimana 1MDB boleh dianggap bersih sebelum ketua audit negara memulakan siasatan," katanya yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

"Bagaimana Kabinet boleh mendengar taklimat 1MDB dan juruaudit luar yang tidak sampai 2 jam, tanpa mendengar daripada mana-mana pihak lain, dan dengan serta-merta menerima semua penjelasan tersebut tanpa soal?

"Lagipun, jika 1MDB diuruskan dengan baik, mengapa syarikat yang mempunyai hutang terkumpul lebih RM42 bilion itu terpaksa memohon kepada hartawan T Ananda Krishnan untuk pinjaman kecemasan RM2 bilion? Selepas itu, 1MDB terpaksa memohon RM3 bilion untuk dijamin Putrajaya,” katanya.

Pua berkata jemaah menteri mungkin tidak memahami kerumitan penyelewengan kewangan yang berlaku dalam 1MDB tetapi ia tidak memberi mereka hak untuk membersihkan nama syarikat itu daripada sebarang salah laku.

"Malah, jika Kabinet peduli untuk membaca dan memahami dokumen dan emel yang didedahkan Sarawak Report, mereka akan sedar 1MDB agak bodoh, tetapi mereka bersubahat sepenuhnya dalam pelbagai penipuan yang berlaku mengakibatkan kerugian besar-besaran bagi syarikat itu," katanya.

Pua merujuk kepada laman web pemberi maklumat Sarawak Report yang memulakan satu siri pendedahan mengenai 1MDB, yang berkata ia mempunyai akses kepada "ribuan dokumen" mengenai operasi 1MDB, serta peranan individu tertentu dikenali sekutu Najib.

Ini termasuk ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang disenaraikan sebagai salah seorang penasihat 1MDB.

Pendedahan tersebut mendorong pemimpin politik pembangkang, bekas pemimpin Umno dan badan anti-rasuah menuntut siasatan menyeluruh terhadap 1MDB dan memberi tekanan kepada Najib, yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Sementara itu, Pua juga menggesa ketua audit memulakan siasatan segera terhadap 1MDB dan menyampaikan laporan kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dalam tempoh 15 hari.

"Audit negara perlu menjalankan audit forensik terhadap 1MDB dengan bantuan juruaudit forensik profesional bagi mendedahkan sebarang penipuan kewangan dalam syarikat itu, terutamanya pendedahan yang dibuat Sarawak Report dan transaksi PetroSaudi 2009-2012.

"Kami berharap dapat bekerja rapat dengan ketua audit negara bagi memastikan mana-mana pesalah yang bersubahat atau menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berbilion ringgit akan didakwa di mahkamah dan dihukum kerana kelakuan khianat mereka," kata Pua, yang juga ahli PAC.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .