» » PAC akan panggil 1MDB selepas terima laporan lengkap


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas laporan audit ke atas syarikat pembangunan strategik kerajaan itu lengkap, kata pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini yang mengarahkan ketua audit negara menyiasat akaun 1MDB pada mesyuarat Kabinet hari ini.

"Kami PAC mengalu-alukan pengumuman perdana menteri hari ini dan akan membuat pemeriksaan selepas lengkap laporan daripada ketua audit," kata Nur Jazlan kepada The Malaysian Insider.

Nur Jazlan sendiri sebelum ini juga mencadangkan Jabatan Audit Negara menjalankan audit segera terhadap 1MDB sebelum PAC memanggil syarikat berkenaan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Nur Jazlan berkata, sebelum PAC memanggil 1MDB, mereka perlu menunggu terlebih dahulu laporan lengkap yang perlu diteliti sebelum memanggil pihak pengurusan 1MDB ke sesi pendengaran.

"Sebelum penyiasatan, kita perlu menunggu terlebih dahulu laporan lengkap daripada ketua audit," katanya.

1MDB dikritik teruk ahli politik Pakatan Rakyat (PR) dan juga bekas perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung hutang besar ditanggung syarikat itu, penggunaan wang dalam syarikat berkenaan dan operasinya yang tidak telus.

Ramai bimbang dengan hutang syarikat itu yang dianggarkan RM40 bilion, walau baru hanya beroperasi 5 tahun, di tengah-tengah nilai matawang ringgit yang rendah.

Satu lagi kontroversi membabitkan 1MDB didedahkan berikutan laporan portal Sarawak Report yang mendakwa mempunyai bukti dana AS$700 juta daripada 1MDB disalurkan kepada pihak ketiga.

PetroSaudi berkata anak syarikatnya menerima keseluruhan wang tunai itu bagi sebuah syarikat usaha sama, sementara 1MDB mengesahkan ia menerima balik keseluruhan pelaburannya di samping mencatat keuntungan.

Nur Jazlan sebelum ini berkata isu utama yang memerlukan audit segera ialah sumber dana berjumlah RM2 bilion bagi menjelaskan pinjaman daripada bank tempatan, suntikan dana baharu daripada kerajaan berjumlah RM3 bilion, perjanjian pelaburan dalam syarikat Petrosaudi, selain percanggahan kenyataan mengenai wang hasil pelaburan di Pulau Cayman sama ada sudah dibawa balik ke Malaysia atau tidak.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .